KUANTAN - Negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung diramalkan bakal menghadapi hujan lebat bermula awal November berikutan peralihan monsun.
Monsun Timur Laut itu dijangkakan akan melanda Kelantan dan Terengganu pada minggu pertama November diikuti Pahang dan selatan Johor.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MMD), Alui Bahari berkata, terdapat antara empat hingga enam episod hujan akan berlaku sepanjang November hingga Mac tahun depan.
"Dalam tempoh berkenaan, hujan paling lebat dijangka akan berlaku antara bulan November dan Disember.
"Di Pahang dan selatan Johor pula, kebiasaannya dua negeri ini akan mula mendapat (taburan) hujan lebat pada Disember dan Januari yang berpotensi mengakibatkan banjir," kata ketika ditemui selepas menghadiri Forum Iklim Kebangsaan 2018: Monsun Timur Laut 2018/2019 di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini hari ini. - K! ONLINE