Skip to main content

Kerjasama UMP dan Lembaga Pelabuhan Bintulu dalam Teknologi Blockchain ke arah Pelabuhan Hijau Pintar Digital

Langkawi, 28 Mac- Dalam meningkatkan daya saing dan pembangunan ke arah pendigitalan yang holistik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (IPB) hari ini memetrai kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan Teknologi Blockchain bagi meningkatkan kecekapan ke arah Pelabuhan Hijau Pintar Digital (Smart Digital Green Port) selari dengan perkembangan RevolusiPerindustrian Keempat (Industri Revolusi 4.0).

Pelaksanaan inisiatif digital ini juga bakal meningkatkan penggunaan teknologi pintar bagi memenuhi keperluan operasi dan keselamatan perdagangan.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Pengurus Besar IPB, Zulkurnain Ayub. Turut sama Profesor Dato’ Dr Mashitah Mohd Yusoff dan Pengurus Undang-Undang IPB, Hajah Norkartiny Nawawi.

Menurut Profesor Dato’ Sri Dr. Daing Nasir,  dengan kepakaran dalam teknologi Blockchain ini, universiti akan memainkan peranan yang lebih besar terutamanya dalam pertukaran kepakaran dan mempergiat pembangunan penyelidikan.  

“Peluang untuk bekerjasama dengan IPB ini melibatkan pembangunan penyelidikan dan perkongsian kemudahan, data, pengetahuan dan kemahiran serta lain-lain sumber untuk manfaat bersama,” katanya dalam majlis menandatangi MoU yang berlangsung sempena Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA`19) di Langkawi.

UMP mempunyai Pusat Kecemerlangan IBM  yang mempunyai kepakaran IT manakala pihak Fakulti Pengurusan Industri (FIM) turut mempunyai kepakaran dalam bidang Supply Chain  yang bakal merancakkan teknologi Blockchain ini. 

UMP merupakan institusi pengajian tinggi pertama di negara ini menggunakan teknologi Blockchain bagi aplikasi pengesahan ketulenan ijazah yang dikenali sebagai UMP Valid8. Sementara itu, IPB merupakan pelabuhan pertama di Malaysia yang akan menggunakan teknologi Blockchain untuk urusan operasi. Majlis turut dihadiri Pengarah Pusat Kecemerlangan IBM, Dr. Mohamed Ariff Ameedeen yang juga Ketua Pegawai Maklumat UMP.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim