UMP dan AITO Firework jalin kerjasama dalam bidang keselamatan kebakaran
Pekan, 14 Julai 2020 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan AITO Firework Holding Sdn. Bhd. (AITO) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam pembangunan modul sistem pengurusan pembelajaran dan perkongsian penyelidikan berkaitan bidang keselamatan kebakaran.
Kerjasama berkenaan termasuk dalam mengembangkan ilmu pengetahuan, teknologi dan penyelidikan terkini dalam bidang keselamatan kebakaran.
Dokumen MoU ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Profesor Madya Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim.
Manakala pihak AITO diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Aswan Khamis dan Mohd Isa Razhali.
Hadir sama Profesor Madya Dr. Mohd Fadzil Mohd Idris yang merupakan ketua projek dari FSTI.
Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli, UMP amat menghargai komitmen pihak AITO yang begitu positif sejak awal berlangsungnya kerjasama dengan pihak FSTI dalam bidang keselamatan kebakaran kepada orang awam serta mematuhi keperluan keselamatan kebakaran bangunan atau premis mengikut undang-undang yang ditetapkan.
“Ini merupakan satu petanda positif yang membuktikan kesediaan universiti untuk meningkatkan kesedaran warga UMP mengenai kepentingan pembudayaan dan pengamalan kesihatan serta keselamatan bangunan di premis masing-masing.
“Kerjasama antara dua organisasi ini berlangsung melalui perkongsian pengetahuan dan maklumat pendidikan keselamatan kebakaran kepada pelajar dan orang awam, sesuai dengan kapasiti sebagai IPT awam.
“Sebagai pusat penyelia latihan bersandarkan kepakaran dan kemahiran yang terdapat di AITO Fireworks Holding Sdn. Bhd., data dan maklumat yang diperoleh akan dijana dan ditambah nilai melalui pembangunan modul sistem pengurusan pembelajaran dan perkongsian penyelidikan antara AITO dan FSTI UMP,” katanya.
Ujarnya, kebakaran ruang sama ada bangunan atau pun kilang akan menyebabkan kesan yang besar kepada harta benda, kesihatan dan nyawa.
“Kebakaran boleh disebabkan oleh pelbagai punca dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) juga tidak terkecuali daripada bencana ini.
Tambahnya lagi, sebagai sebuah Universiti Awam (UA), UMP sentiasa berusaha mengembangkan jaringan kerjasamanya dengan rakan strategik berwibawa sama ada dari dalam atau luar negara selaras dengan Pelan Strategik UMP 2016-2020.
Manakala Aswan Khamis pula mengucapkan terima kasih kepada pihak UMP atas kerjasama yang dijalinkan ini dan mengharapkan kerjasama ini dapat memberi impak yang positif kepada kedua-dua pihak di samping meneroka peluang-peluang lain untuk dimanfaatkan bersama.
Terkini, UMP berjaya mengurangkan kebarangkalian berlakunya kebakaran dan mencatat kes sifar bagi tahun 2019 dan diharapkan ia akan berkekalan pada tahun akan datang.
Kerjasama ini diharapkan dapat mengalakkan kemajuan sistem pendidikan berteraskan teknologi dalam talian di negara ini seiring dengan kemajuan teknologi ICT yang semakin berkembang.
AITO Firework Holding Sdn. Bhd. merupakan syarikat berstatus Bumiputera yang menawarkan penjualan dan servis pelbagai peralatan pemadam kebakaran, pemasangan sistem pemadam kebakaran, menyediakan sesi seminar dan latihan keselamatan kebakaran serta membekalkan peralatan perlindungan dan keselamatan diri.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor
- 113 views