UMP dan Kerajaan Negeri Pahang jalin kerjasama dalam analitis data raya
KUANTAN, 5 Oktober 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang berkaitan analitis data raya bagi membangunkan program latihan melibatkan pegawai Kerajaan Negeri. Kolaborasi ini turut melibatkan bidang penyelidikan melalui perkongsian maklumat Pejabat SUK Pahang dengan kepakaran pensyarah Fakulti Komputeran di universiti ini.
UMP akan menyediakan perkhidmatan kolokasi bagi infrastruktur Pusat Pemulihan Bencana Kerajaan Negeri di Pusat Data UMP Pekan dan projek pembangunan analitis data raya yang berkaitan menerusi pemeteraian kerjasama strategik ini.
Majlis menyaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dalam majlis yang berlangsung di Cherating Kuantan.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Dekan Fakulti Komputeran, Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, dalam era revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) ini, analitik data raya (big data analytic) merupakan satu tonggak kemajuan teknologi.
“Pejabat SUK Negeri Pahang adalah sebuah agensi kerajaan negeri yang bermatlamat untuk menggabungkan keperluan dua elemen utama iaitu tadbir urus berkualiti dan pembangunan sosioekonomi yang inklusif.
“Usaha sama pembangunan program latihan, bengkel dan projek pembangunan analitik data raya yang dirancang kedua-dua pihak ini telah banyak menghasilkan inovasi yang berupaya mencorak sistem penyampaian perkhidmatan yang holistik dan inklusif,
“Antara inovasi yang telah dijalankan adalah pembangunan aplikasi e-Perumahan, e-Munakahat dan juga Sistem Pengurusan Sekolah Menengah Agama Negeri (SPSMA),” katanya.
Kerjasama dengan Pejabat SUK Pahang ini juga seiring dengan Pelan Strategik UMP 2021-2025 melibatkan hubungan kerjasama dengan pihak agensi kerajaan dalam penghasilan inovasi dan penyelidikan yang dimanfaatkan untuk masyarakat.
Manakala menurut Dato’ Sri Dr. Sallehuddin, melalui MoU ini khidmat perundingan dan kepakaran dengan UMP dapat membantu meningkatkan kemahiran serta potensi pegawai-pegawai di bawah pentadbiran kerajaan negeri untuk melaksanakan serta meneruskan inisiatif data raya ini pada masa akan datang.
“Selain kerjasama dalam bidang analitis data raya, ia juga melibatkan penempatan Pusat Pemulihan Bencana (DRC) Negeri Pahang yang baharu secara kolokasi dari Kompleks Tun Razak (Komtur) Indera Mahkota ke premis UMP di Pekan.
“Pemeteraian MoU ini akan dapat menjadi medan percambahan fikiran, penambahbaikan inovasi sedia ada dan pencetus inovasi baharu.
“Selain itu juga, ia bertujuan untuk menentukan hala tuju dalam meningkat dan memperkasakan lagi pembangunan inovasi perkhidmatan di negeri Pahang serta dapat melancarkan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat,” ujarnya.
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 169 views