Skip to main content
 UMP dan TDA meterai MoU di dasar laut

UMP dan TDA meterai MoU di dasar laut

TIOMAN, 10 Oktober 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) melakar sejarah apabila buat julung kalinya mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di dasar laut, Pulau Tumok, Tioman, Pahang.

Kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak dalam usaha membangunkan organisasi terutama dalam hal-hal berkaitan penyelidikan, pembangunan dan program bersama komuniti di Tioman.

Majlis menyaksikan Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman, Dato’ Haji Idros Yahya dan Pengurus Khidmat Pengurusan, Nor Zaihan Othman menyempurnakan acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Program turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad dan Pengurus Kanan Pejabat Naib Canselor, Abd Rahman Haji Safie.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, kerjasama ini melibatkan aktiviti akademik seperti peluang latihan industri bagi pelajar dan latihan di pusat-pusat selaman atau agensi di bawah TDA.

 UMP dan TDA meterai MoU di dasar laut

“Selain itu, UMP turut bertanggungjawab untuk mengetengahkan ilmuan yang ada dan pengetahuan serta kepakaran yang terdapat di UMP terutama dalam pembangunan dan penyelidikan untuk dikongsikan bersama komuniti di Tioman.

“Kita akan menerapkan pemahaman dan meneruskan agenda Sustainable Development Goal (SDG) yang merupakan initipati pembangunan di UMP ke Tioman,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, UMP kini dalam usaha menyasarkan pengurangan karbon di dalam kampus.

“Pelbagai inisiatif telah dirancang seperti mewujudkan kawasan hijau menerusi aktiviti penanaman pokok dan Rimba Lestari untuk tujuan untuk kenyamanan dan sehingga kini kawasan hijau di UMP telah mencapai 27 peratus, menepati kriteria Kampus Hijau SDG.

“Sehingga kini, lebih 200 MoU telah dimeterai sama ada di dalam dan luar negara, namun MoU pada kali ini adalah sangat unik kerana dilaksanakan di dasar laut.

Dato’ Haji Idros Yahya pula melahirkan rasa gembira dan MoU kali ini sangat bermakna apabila julung kali dilaksanakan di dasar laut Pulau Tioman.

Menerusi kerjasama ini, TDA menawarkan tempat ini untuk bersama-sama UMP dalam memperkasakan bidang pembangunan dan teknologi.

“Terdapat 22 buah pulau di Tioman yang perlu dijaga sebagai produk pelancongan.

“Banyak perkara yang boleh dikaji dan diselidiki untuk pembangunannya.

“Manakala dari segi promosi, kita dapat lihat Tioman merupakan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa dan turut menjadi tarikan penerbit antarabangsa untuk mengadakan rakaman filem dan program bersiri,” ujar beliau.

Pihaknya juga mengharapkan kepakaran UMP dalam pembangunan Tioman melalui kerjasama ini.

“Di samping itu, diharapkan UMP menjadikan Pulau Tioman sebagai lokasi untuk menyertai aktiviti latihan ataupun aktiviti kokurikulum pelajar.

“Pihak kami juga amat mengalu-alukan UMP menjadikan Pulau Tioman sebagai destinasi program mobiliti pelajar tempatan ataupun antarabangsa bagi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Pada masa yang sama turut diadakan program Kembara UMP bersama komuniti Tioman yang disertai oleh dua orang staf dan lima orang pelajar UMP.
 

 

 UMP dan TDA meterai MoU di dasar laut

Bagi pensyarah FTKMA yang juga merangkap Pengarah Program, Ts. Dr. Siti Rabiatul Aisha Idris, program ini bukan sahaja menyantuni komuniti malah turut melihat lokasi penempatan tukun tiruan di dasar laut dan merancang program serta mengenal pasti lokasi strategik untuk dijadikan aktiviti luar untuk menarik minat pelancong ke Tioman.

UMP turut mempunyai Pusat Selaman yang terletak di Akademi Adab di UMP Pekan yang boleh digunakan untuk latihan berasaskan air seperti selaman, aktiviti menyelamat di dalam dan permukaan air serta aktiviti berbentuk water confident.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Konunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris