UMP, IMPACT MALAYSIA meterai kerjasama program Inovasi Belia dan Komuniti
KUALA LUMPUR, 1 September - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan IMPACT MALAYSIA meterai kerjasama teknologi, komuniti dan impak perniagaan yang membolehkan interaksi kerjasama antara pelbagai pihak yang berkepentingan melalui semua program yang bakal dilaksanakan.
Antara program yang dirangka termasuklah jelajah IMPACT, celik politik, wira masyarakat dan reka bentuk pemikiran serta idea dalam komuniti.
Majlis menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif, IMPACT MALAYSIA, Ahmed Faris Amir dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).
Turut sama Naib Presiden Strategi dan Pembangunan IMPACT MALAYSIA, Mastura Mohd Rashid, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Penolong Naib Presiden, Strategi dan Program , IMPACT MALAYSIA, Radin Muhamad Farhan Radin Abd. Razak.
Hadir sama Penolong Naib Canselor Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin dan Pengarah Kanan Akademi ADAB UMP, Mejar Imaduddin Abidin.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, UMP sebagai sebuah universiti kejuruteraan dan teknologi, kerjasama yang dirintis ini merupakan platform pemadanan yang amat berkesan bagi melaksanakan inisiatif kolaborasi dengan agensi dan industri yang memberi pulangan manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Menerusi MoU yang dimeterai ini juga bakal meneroka kerjasama dalam memperluas program keusahawanan, inovasi sosial, sukan dan aktiviti yang menyumbang ke arah mencapai pembangunan lestari dengan program yang berimpak.
“Kerjasama ini seiring dengan hasrat universiti dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025 bagi memperkasa kolaborasi strategik dengan industri dan NGO yang memanfaatkan pelajar.
“Selain itu, melalui inovasi sosial ia sekali gus mencari permasalahan sosial yang dihadapi masyarakat kemudiannya menyelesaikannya melalui teknologi yang akan dikongsikan,” ujarnya.
Manakala Ketua Pegawai Eksekutif IMPACT MALAYSIA, Ahmed Faris Amir berkata, pihaknya akan memberi tumpuan terhadap program yang boleh memberikan teknologi kepada masyarakat dengan kos yang lebih efektif.
“Ini akan membolehkan mahasiswa dan belia menyumbang kemahiran yang mereka ada kepada komuniti setempat,” katanya.
Delegasi UMP juga berpeluang melawat fasiliti e-sports dan studio radio Rakita.fm yang dijenamakan semula daripada iM4U FM.
Siaran ini boleh didengari di seluruh negara melalui online atau saluran 107.9 FM di Lembah Kelang atau Rakita.my
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.
- 132 views