Skip to main content

UMPSA jalin kerjasama bersama institusi pendidikan tinggi wilayah Heilongjiang dan lancar Bengkel Kaiwu

PEKAN, 21 Ogos 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdillah (UMPSA) terus mengukuhkan jaringan antarabangsanya dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama beberapa institusi pendidikan tinggi (IPT) terkemuka di Wilayah Heilongjiang, China.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha UMPSA untuk memperluas rangkaian akademik dan mempertingkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi. 

Majlis menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara UMPSA hasil kerjasama universiti di Heilongjiang iaitu Harbin University of Commerce, Heilongjiang Jiaotong Polytechnic dan Heilongjiang University of Chinese Medicine. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, MoU ini dapat memupuk pertukaran pengetahuan dan kepakaran antara kedua-dua negara yang dijangka membuka ruang kepada pelajar dan staf akademik untuk terlibat dalam program pertukaran, projek penyelidikan bersama, serta peluang latihan industri di Malaysia dan China. 

Kerjasama ini merupakan hasil daripada lawatan rasmi delegasi UMPSA ke Wilayah Heilongjiang pada April lalu, sewaktu Naib Canselor menyertai Malaysia Higher Education Exchange Week di Heilongjiang. 

Dalam program tersebut, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie telah berkongsi amalan terbaik UMPSA, bagi program ijazah dual dan usaha-usaha pengantarabangsaan. 

Ujar beliau, pada kali ini, UMPSA turut melancarkan ‘Kaiwu Workshop’ hasil kerjasama dengan Heilongjiang Jiaotong Polytechnic yang bakal menjadi platform untuk memperkenalkan teknologi terkini dan aplikasi inovatif terutamanya dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi kepada staf serta pelajar UMPSA kelak. 

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China, tetapi juga turut memberikan manfaat besar kepada pelajar dan penyelidik di kedua-dua buah negara. 

“Di samping itu juga, ia bakal memberikan peluang kepada UMPSA untuk terus maju dalam bidang Teknologi dan Inovasi, serta memastikan kami berada di barisan hadapan dalam melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global,” ujarnya. 

Para masa yang sama, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie turut menyampaikan ucaptama dan melancarkan sesi simposium bertajuk ‘Strategies in Sustaining Advanced TVET Programme at UMPSA’.

 UMPSA jalin kerjasama bersama institusi pendidikan tinggi wilayah Heilongjiang dan lancar Bengkel Kaiwu

Ujar beliau, empat perkara utama dalam memastikan kelestarian pendidikan terutamanya dalam pendidikan TVET di universiti adalah yang pertama untuk memastikan program akademik seiring dengan pembangunan teknologi yang memberi keşan terhadap keperluan industri. 

“Justeru, UMPSA akan memperkasa strategi keterlibatan staf akademik dalam pembangunan penyelidikan, 

“Yang kedua ialah kualiti pengajaran dan pembelajaran dengan peningkatan kemahiran serta latihan semula. 

“Ketiganya adalah penekanan budaya inovasi dan keusahawanan dalam kalangan pelajar,” ujarnya. 

Manakala yang keempat pula katanya adalah strategi pengantarabangsaan dan hubungan baik dengan rakan strategi luar negara. 

Sementara itu, Penolong Naib Canselor (Pengembangan Akademik), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh turut berkongsi Amalan Terbaik Pelaksanaan TVET Termaju di UMPSA. 

Hadir sama Pengarah Bahagian Sekretariat Hal Ehwal Luar Pejabat People's Government of Heilongjiang Province, Xia Qingchao dan Naib Presiden (Pengajaran dan Pembelajaran), Heilongjiang Jiaotong Polytechnic, Profesor Zhou Hongjiang. 

Turut sama Presiden Qinhuangdao Campus Northeast Petroleum University, Zhou Bin, Sun Yaoyao mewakili Heilongjiang University of Chinese Medicine dan Shao Wei mewakili Harbin Institute of Technology. 

Lain-lain yang hadir adalah Presiden, Malaysia-China Cultural Tourism Association, Natalie Chan Shei Tyng, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Dekan-dekan dan ketua-ketua jabatan UMPSA. 

 UMPSA jalin kerjasama bersama institusi pendidikan tinggi wilayah Heilongjiang dan lancar Bengkel Kaiwu

Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri