UMPSA memperkasakan Agenda Inklusiviti menerusi kolaborasi strategik bersama POKU dan Yayasan Science to Action
PEKAN, 19 Mei 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Orang Kurang Upaya Negeri Pahang (POKU) dan Yayasan Science to Action dalam usaha meneroka peluang kolaborasi strategik bagi memperkasakan Agenda Inklusiviti serta pembangunan komuniti orang kurang upaya (OKU).
Kunjungan tersebut menjadi platform perbincangan dua hala antara pihak UMPSA bersama POKU dan Yayasan Science to Action berkaitan inisiatif pemerkasaan komuniti OKU di kawasan Sungai Lembing di samping memperkukuh pembangunan komuniti inklusif UMPSA menerusi pelaksanaan program berimpak tinggi, pembangunan kapasiti komuniti dan aktiviti sosial yang lebih mesra OKU.
Delegasi UMPSA diketuai oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bersama Pengarah Pusat Inklusif, Dr. Munira Abd Razak dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Madya Dr. Noram Irwan Ramli.
Manakala delegasi kunjungan diwakili oleh Presiden Persatuan Orang Kurang Upaya Negeri Pahang (POKU), Dato' Sri Sa Tai, Pengasas dan Pemegang Amanah Yayasan Science to Action, Dato' Dr. Sophia Si dan Penasihat Undang-undang POKU, Muhammad Aiman Firdaus.

Antara objektif utama program yang dibincangkan termasuk memperkasakan komuniti POKU melalui latihan kemahiran dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), membuka peluang pekerjaan serta sumber pendapatan baharu kepada peserta, menggalakkan pembangunan komuniti lestari melalui pertanian moden dan teknologi hijau serta mengukuhkan hubungan strategik antara universiti dan komuniti.
Selain itu, kerjasama berkenaan turut menyasarkan usaha melahirkan komuniti POKU yang lebih berdikari, produktif dan berdaya saing menerusi pendekatan pembangunan komuniti yang lebih inklusif dan mampan.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, sinergi antara institusi pendidikan tinggi, pertubuhan komuniti dan organisasi sosial amat penting dalam memastikan golongan OKU terus diberi ruang dan peluang untuk membangun bersama masyarakat.
“Kita akan mengupayakan golongan inklusif melalui sinergi dan teknologi,” ujarnya.
Kerjasama ini turut memberi fokus kepada usaha meningkatkan aksesibiliti, peluang pendidikan, kesejahteraan sosial dan penglibatan aktif golongan OKU dalam komuniti.
Melalui jaringan strategik ini, UMPSA terus komited memperkukuh ekosistem kampus dan masyarakat yang lebih inklusif, prihatin dan lestari selaras dengan aspirasi universiti dalam mendukung Agenda Keterangkuman Sosial.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 36 views
Reports by: