Skip to main content

UMPSA tuan rumah penganjuran Sesi Libat Urus Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK)

PEKAN, 26 Jun 2024 - Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (OkUMPSA) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang telah menganjurkan Sesi Libat Urus Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Peringkat Negeri Pahang bertempat di Dewan Kuliah Utama, Pusat Bahasa Moden (PBM) UMPSA Pekan semalam. 

Kehadiran Ahli Dewan Negara, Yang Berhormat Senator Isaiah D Jacob disambut oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Hadir sama, Pengarah JKM Negeri Pahang, Khairul Amri bin Ahmad serta Pengarah OkUMPSA, Dr Munira binti Abdul Razak. 

Yang Berhormat Senator Isaiah D Jacob dalam ucapannya menzahirkan tahniah dan terima kasih kepada 109 ahli jawatankuasa dan petugas di 55 buah PPDK di negeri ini kerana terlibat dalam menjayakan sesi libat urus ini. 

“Persatuan Gabungan PPDK Pahang ditubuhkan bertujuan bagi menyelaras tadbir urus PPDK dengan lebih efektif dan efisien.

“Menerusi program ini, pelbagai isu yang dibangkitkan berkaitan keperluan penambahbaikan infrastruktur selain garis panduan kadar elaun dan tempoh cuti bagi penyelia serta petugas PPDK,” ujarnya. 

Selain itu, turut dibincangkan mengenai usul kepentingan pengurusan kesihatan mental dalam kalangan petugas, pelatih, penjaga dan mempertimbangkan permintaan serta keperluan pusat komuniti bagi anak syurga di Pahang yang dilihat semakin meningkat.

Beliau turut mengharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha untuk menjadi platform dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan integrasi sosial Orang Kurang Upaya (OKU).

Manakala Pengarah OkUMPSA, Dr. Munira Abdul Razak pula mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini. 

Ujarnya, pihak universiti amat menyokong dalam pelaksanaan program sebegini selaras dengan inisiatif ke-6 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menyantuni pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

“PPDK DAMAi di UMPSA telah ditubuhkan sejak tahun 2023 dan berperanan untuk  persekitaran/ekosistem kampus yang inklusif dan kondusif kepada warga OKU dengan penyelarasan pengurusan warga OKU yang cekap dan berkesan di semua peringkat pentadbiran universiti.

“Selain itu antara inisiatif OkUMPSA berfokuskan teknologi inklusif dan kondusif seperti penubuhan studio OkUMPSA, Hab Digital Oku (HaDO) dan Modul I.K.M.A.L selaras dengan Pelaksanaan Pelan Strategik UMPSA 2021-2025,” katanya. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohamad Idris, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris