Skip to main content

Penyelidik UMP hasil Produk Terbaik

Seramai hampir 300 peserta telah turut mengambil bahagian dalam program Creation, Innovation Technology & research Exposition (CITREX) 2018 kali keenam yang telah dianjurkan di Kompleks Sukan Universiti, Universiti Malaysia Pahang semalam.

CITREX merupakan sebuah pertandingan penyelidikan peringkat universiti yang menghimpunkan produk-produk penyelidikan staf dan mahasiswa UMP dari pelbagai fakulti bagi tujuan saringan dalam usaha untuk dibawa ke pertandingan ataupun pameran di peringkat nasional dan antarabangsa.

Antara hasil yang menarik ialah produk papan selaju mudah alih yang bergerak menggunakan tenaga elektrik dengan menggunakan teknologi solar sebagai sumber tenaganya. Produk ini adalah hasil daripada mahasiswa dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Tee Siau Thung, Tng Wam Chen, Sim Chun Kiat dan Nur Fatin Syahira Binti Rozak. 

Selain itu terdapat juga sabun anti bakteria yang menggunakan propolis daripada lebah yang dihasilkan oleh mahasiswa dari Fakulti Teknologi Kejuruteran jurusan farmaseutikal, Viviana Abdullah dan Kong Yee Tong.

Produk yang memenangi Anugerah Terbaik Pelajar CITREX 2018 ialah kapsul yang diekstrak daripada daun Gelenggang yang dapat digunakan untuk merawat sembelit, yang diusahakan oleh pensyarah dan mahasiswa daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli iaitu Prof Madya  Dr. Jolius Gimbun, Dr Pang Sook Fun, Chong Sin Yee dah Yeong Yi Ling.

Bagi Anugerah Terbaik Kategori Staf pula dimenangi oleh pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UMP, Ir Dr Mohd Fairusham Ghazali yang membangunkan sistem yang dikenali sebagai Aldelos. Sistem ini dapat membantu untuk mengesan kekurangan air dalam sistem perpaipan yang memerlukan kos yang lebih rendah.

Naib Canselor UMP Prof Dato' Seri Ts. Dr. Daing Nasir Ibrahim menyatakan bahawa skala penganjuran Citrex akan diperluaskan pada tahun akan datang dan disertakan dengan pembukaan kategori baharu yang khusus untuk sekolah dan institusi TVET seperti politeknik dan kolej komuniti

“Pengembangan skala ini bukan sahaja signifikan dari sudut pembudayaan inovasi dan kreativiti, tetapi ianya juga merupakan sebahagian daripada sumbangan UMP bagi memperkukuh Pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah lagi.

“Dalam jangka panjang, manfaat akan diperoleh dari segi peningkatan minat penuntut sekolah terhadap STEM, yang akan mempengaruhi mereka dalam memilih kursus dan institusi pengajian di peringkat Pendidikan tinggi akan datang,”katanya.

Tambah beliau, bertepatan dengan slogan Memasyarakatkan Teknologi yang mendasari Pelan Strategik UMP 2016-2020, tumpuan hendaklah diberikan kepada potensi pengkomersilan produk yang memberi manfaat kepada pengguna dan masyarakat secara keseluruhannya.

 

Berita di sediakan oleh Awani Rangers UMP, Nazmi Nasir dari Kelab Media Massa UMP dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat.

Reports by:
Nur Laila binti Afandi