Skip to main content

Prof. Madya Dr. Jaya Vejayan hasilkan kapsul Bio-Root Tok Ali

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Dr. Jaya Vejayan a/l Palliah, 49, telah menghasilkan produk kapsul herba Bio-Root Tok Ali bagi meningkatkan stamina dan kecergasan kaum lelaki. 

Bio-Root Tok Ali merupakan kapsul herba dengan kandungan bahan aktif dua jenis akar Tongkat Ali iaitu Tongkat Ali Putih (Eurycoma longifolia) dan Tongkat Ali Hitam (Polyalthia bullata). 

Menurut Profesor Madya Dr. Jaya, keistimewaannya ialah pada kandungan bahan aktif. Kebiasaanya dalam pasaran hanya terdapat satu jenis Tongkat Ali sahaja. 

“Penyelidikan ini bermula ketika saya berkhidmat di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada tahun 2007 lagi. 

“Semenjak itu, saya telah giat melakukan kajian terhadap Tongkat Ali dan telah menerbitkan beberapa artikel jurnal.  

“Idea bagi menghasilkan produk kapsul Bio-Root Tok Ali ini timbul pada tahun 2014 dan kajian pada masa itu tertumpu pada pengesanan produk-produk berasaskan Tongkat Ali dalam pasaran sama ada ia tulen ataupun semata-mata helah bagi pemasaran oleh pengilang produk herba. 

“Pada masa itu, kami telah menghasilkan satu kaedah ujian yang boleh mengenal pasti kewujudan Tongkat Ali dalam kapsul, pil, majun, kopi pracampuran dan sebagainya,” katanya. 

“Ia boleh menentukan keaslian produk-produk Tongkat Ali. Melalui ujian yang dilakukan pada 50 produk Tongkat Ali yang diperoleh melalui pelbagai sumber didapati hanya separuh yang terbukti asli.

“Perkara ini telah membimbangkan kami sekumpulan saintis UMP dan kami bertekad untuk menghasilkan produk tulen akar Tongkat Ali dengan bantuan Orang Asli,” katanya. 

Jelas beliau lagi, bermula dari situlah wujudnya idea untuk menghasilkan kapsul tersebut dan kini produk itu sudah mula dipasarkan.

“Peringkat permulaan, kajian ini turut melibatkan beberapa orang saintis antaranya Allahyarham Profesor Dato’ Dr. Mashitah Mohd Yusoff (FSTI), Dr. Aini Norhidayah (FSTI) dan Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad (Pusat Sains Kemanusian). 

“Kini, saya hanya berkolaborasi bersama Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad. 

“Produk ini dipercayai mengandungi bahan aktif yang berkemampuan menguja badan seseorang lelaki untuk meningkatkan penghasilan hormon testosteron. 

“Secara semula jadi, seseorang lelaki akan mempunyai paras normal hormon ini. Walau bagaimanapun, apabila semakin tua paras hormon ini semakin menurun,” ujarnya.

Tambah Profesor Madya Dr. Jaya lagi, kekurangan hormon testosteron akan mencapai paras kritikal apabila mencapai umur 40 tahun. 

“Hormon ini penting untuk kesihatan dan stamina kaum lelaki. 

“Malah hormon ini juga dapat memastikan seseorang kekal bertenaga, mengurangkan lemak dan meningkatkan dimensi otot. 

“Semakin berusia, semakin berkuranglah tenaga dan bentuk badan akan lebih cenderung ke arah obesiti,” katanya. 

Katanya, doktor boleh menguji paras hormon ini secara ujian diagnostik dan jika parasnya  rendah, doktor boleh memberikan ubat bagi meningkatkan ke paras ke normal semula. 

“Manakala bagi yang inginkan kaedah penyelesaian secara semula jadi tanpa gejala tidak diigini akan menggunakan herba seperti Tongkat Ali ini. 

“Ubat herba kapsul ini dihasilkan bagi membolehkan kajian saintifik berserta bukti-bukti kukuh praklinikal dapat dikembangkan sehingga menjadi satu produk klasifikasi herba yang berdaftar dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Selain itu juga, kami ingin memastikan penjualan produk yang tulen dan berkesan kepada para pengguna. 

“Ia juga mampu menjana sumber pendapatan kepada universiti dan Orang Asli sebagai komuniti yang diberi kebenaran masuk ke dalam hutan bagi mencari akar Tongkat Ali secara sah,” kata anak jati Pulau Pinang ini. 

Kini katanya, satu geran telah diperoleh dalam usaha mengasingkan bahan aktif daripada bahan-bahan kontaminasi lain agar membolehkan kapsul herba dinaik taraf kepada kapsul ubat farmaseutikal sebagai suplemen yang jelas mengenai dos dan selamat daripada kesan sampingan. 

“Promosi dan pasaran produk Kapsul  Bio-Root Tok Ali ini pula dibantu oleh UMP Technology Sdn. Bhd. 

“Menerusi hasil kerjasama ini, pada Januari 2021, produk ini  telah berjaya memperoleh angka jualan tertinggi iaitu sebanyak 100 botol bagi satu jualan. 

“Harga jualan untuk sebotol yang mengandungi 60 biji kapsul ini ialah RM79.00. Harga ini termasuk kos penghantaran. 

“Jika pembelian dilakukan secara tunai tanpa keperluan penghantaran maka harganya lebih rendah iaitu RM69.00 sahaja,” katanya. 

Penyelidikan ini turut memenangi pingat emas di ITEX20, CITReX 2020, CITReX 2107 dan AiNEX 2017. 
Produk ini juga telah dibangunkan melalui pembiayaan Geran MTUN UIC191201, Geran Pembangunan Produk PDU203209 dan dipatenkan dengan tajuk Method for Isolating Glycosylated Proteins from Extract of Eurycoma longifolia (Tongkat Ali) (PI 2020005773).
Tambah beliau, pada masa akan datang satu lagi produk akan dihasilkan yang dikenali sebagai Men Hormone Generator (MHG).

“MHG ini akan mengandungi bahan aktif yang hanya terbukti berkesan meningkatkan hormon testosteron. 

“Satu lagi produk yang pernah dihasilkan ialah Kapsul Nina Square Root Tongkat Ali (260 mg) yang hanya mengandungi Tongkat Ali Putih,” katanya yang mempunyai kepakaran dalam bidang proteomik/bahan semula jadi.
 

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin dan Nur Hartini Mohd Hatta, Penerbit UMP

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri