Skip to main content

UMP terima kunjungan delegasi antarabangsa

Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima delegasi antarabangsa, TUV SUD Singapura dan TAPIO Management Advisor Sdn bhd (TAPIO) bagi meneroka peluang kerjasama  dalam bidang akademik dan penyelidikan serta menjadi  rujukan dan tumpuan negara dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) akan datang.

Delegasi diketuai oleh Dr. Andreas Hauser disertai Jackie Tan, Emily Yee manakala dari Wilayah Ekonomi Pantai Timur Pembangunan (ECERDC) iaitu Bernhard Schutte, Mohd Imran Abd Latiff  dan Randolph Chin. Pihak TAPIO  pula diwakili Tan Heng Siang, David Taylor dan Hugo Lecointre.

Hadir menyambut delegasi adalah Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Prof. Madya Dr. Ridzuan Darun dan Dekan  Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Ts. Dr. Muhamad Mat Noor. 

Menurut Dr. Muhamad, lawatan ini bertujuan untuk membincangkan  mengenai ASEAN Competence Center for Industry 4.0 (ACCI 4.0) yang merupakan pusat yang akan menyediakan perkhidmatan penyelesaian tahap tinggi Revolusi Industri 4.0 untuk rantau ASEAN.

“Kerjasama di antara UMP, TUV SUD, ECERDC dan TAPIO ini juga merupakan sebahagian dari perancangan untuk ACCI 4.0 terlibat dalam tonggak pembangunan produk, pilot plant serta pensijilan,” katanya. 

Beliau berharap dengan kerjasama ini dapat meningkatkan lagi kepakaran UMP terutama dalam bidang pembangunan produk dan persijilan selain mengharapkan kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada pelajar dan penyelidik UMP.

Selain itu, Dr. Andreas juga membuat pembentangan mengenai fungsi dan peranan TUV SUD dengan diikuti oleh sesi perbincangan. Delegasi juga berpeluang melawat FIM Learning Factory yang merupakan “ kilang pembelajaran” bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk mendapat pengalaman sebenar dalam bidang industri dan perkilangan.

 

 Disediakan Nor Salwana Mohamad Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat

Reports by:
Nur Laila binti Afandi