1000 mahasiswa meriahkan Larian Jom Masuk IPT
Lebih 1000 orang dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan komuniti setempat memeriahkan Larian Jom Masuk IPT bersempena Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UMP baru-baru ini yang berlangsung di UMP Gambang.
Peserta berkumpul seawal jam 6:30 pagi bagi sesi pendaftaran dan dimulakan dengan aktiviti senamrobik sebagai acara pemanas badan sebelum acara pelepasan pada jam 8.30 pagi yang menyaksikan peserta berlari sejauh 5 kilometer dari Kompleks Sukan UMP ke sekitar kampus.
Acara pelepasan peserta disempurnakan Pengerusi KPTN Zon Pahang yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ts Dr. Rosli Mohd Yunus. Hadir sama Pengarah Pusat Sukan & Kebudayaan, Abd Rahman Hj Safie dan Ketua Pegawai Eksekurif UMP Advanced, Dr. Mohamad Rozi Hassan dan Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar KPT, Mazula Sabudin.
Menurut Dato Rosli, aktiviti sebegini dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang pentingnya penjagaan kesihatan dalam kehidupan seharian.
“Keadaan kini telah berubah, teknologi semakin canggih, beban kerja yang semakin bertambah dan lambakan makanan segera menyebabkan kebanyakan masyarakat kini mengambil jalan mudah dalam mengurus diri dan pemakanan seharian,” katanya.
Selain itu penganjuran ini adalah sebahagian daripada program bagi merancakkan karnival yang mensasarkan pelajar sekolah menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru, komuniti setempat dan mereka yang berminat menyambung pengajian tinggi untuk merebut peluang mendapatkan maklumat pengajian tinggi.
KPTN adalah program bermaklumat yang membolehkan pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan tinggi, akreditasi dan pembiayaan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf di peringkat pengajian program asasi, diploma, ijazah pertama di universiti awam dan swasta serta sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA). Acara berakhir dengan sesi penyampaian hadiah kepada semua pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Disediakan Norhidayah Mohamad dari Bahagian Komunikasi Korporat
- 67 views