Sekretariat Rakan Muda UMPSA dilancar, KBS umum peruntukan 1 Juta Buat SRM IPT
GAMBANG, 13 Februari 2024 - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus menerajui pembangunan belia secara holistik dan inklusif.
Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hari ini merasmikan Sekretariat Rakan Muda UMPSA yang diberikan nafas baharu dalam program yang berlangsung di UMPSA Kampus Gambang.
Inisiatif Rakan Muda kini diperkasakan semula oleh KBS dengan objektif untuk menjadi platform pengisian masa berkualiti dan penyatuan perpaduan.
Pihaknya turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan program dan aktiviti pembangunan Rakan Muda oleh Sekretariat Rakan Muda Institusi Pengajian Tinggi (SRM IPT) bagi tahun 2024.
Ujarnya, bantuan kewangan ini diperuntukkan kepada SRM IPT untuk menjalankan program dan aktiviti pembangunan Rakan Muda yang berteraskan sepuluh Gaya Hidup Rakan Muda iaitu Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Espresi, Rakan Litar, Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.
“SRM IPT merupakan sekretariat khusus yang ditubuhkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta bertujuan untuk melaksanakan program dan aktiviti pembangunan Rakan Muda.
“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat menyerlahkan potensi dan membentuk sahsiah serta jati diri yang baik dalam kalangan pelajar IPT,” katanya yang hadir dalam Program Rakan Muda Turun Padang @Pahang 2024.
Beliau juga turut melancarkan Program Gaya Hidup UMPSA di Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Pada masa yang sama, Beliau menasihatkan ağar SRM IPT mengambil peluang ini untuk menjalankan aktiviti mengikut minat dan manfaat generasi muda sekarang.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyaksikan majlis pertukaran Memorandum Persefahamanan (MoU) antara Yayasan UMPSA dan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dalam memperkukuhkan hubungan strategik dari segi penganjuran program latihan, projek penyelidikan, wakaf dan endowmen.
Hadir bertukar dokumen Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Prihatin, Dato' Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.
Sementara itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, jalinan kerjasama antara Yayasan UMPSA dengan Yayasan Prihatin Nasional (YPN) adalah dalam menfokuskan bengkel dan latihan bukan sahaja bersifat akademik tetapi juga latihan yang bersifat bukan akademik.
“Jalinan kerjasama ini turut memanfaatkan Projek Penyelidikan dan Pembangunan Bersama, Program Wakaf dan Endowmen dan lain-lain yang bakal diterokai untuk manfaat bersama,” katanya.
Dalam pada itu, pihak universiti telah menyediakan pelbagai fasiliti untuk pembangunan sukan dan sahsiah belia UMPSA serta komuniti setempat seperti tapak perkhemahan, rentas halangan, peralatan dan kelengkapan kayak, kemudahan Paintball dan Kolam Selaman yang merupakan satu-satunya universiti awam yang mempunyai pusat selam di negara ini.
Malahan, dua mahasiswa UMPSA juga turut mewakili negara dalam sukan Asean Games 2023 yang lalu iaitu Kovalen a/l Kesavan dalam sukan kabaddi dan Saw Wei Er dalam sukan polo air.
Program turut dihadiri Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang (JBSN), Mohd Azhari Mohammad dan Pengarah Jabatan JBSN, Mu’azamir Hani Jili.
Lebih 500 pelajar mengikuti program yang berlangsung sepanjang hari ini.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 185 views