Skip to main content

16 pelajar antarabangsa kumpulan pertama Edu-Tourism UMPSA

GAMBANG, 9 Mei 2024 – Seramai 16 pelajar antarabangsa daripada pelbagai negara telah menyertai Program Pelancongan Pendidikan (Edu-Tourism) Kohort 1 yang julung kali diperkenalkan oleh Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Program Edu-Tourism ini merupakan salah satu KPI di dalam Pelan Strategik UMPSA25 di bawah Teras 6A: Pengantarabangsaan Mahasiswa.

Pelaksanaan Program Pelancongan Pendidikan (Edu-Tourism) Kohort 1 ini melibatkan seramai empat orang peserta antarabangsa daripada Universitas Muhammaddiyah, Acheh yang mengikuti Pakej Nature And Adventure Package: A Thrilling Adventure In Taman Negara, Kuala Tahan Pahang dan selebihnya 12 peserta antarabangsa daripada Bangladesh, China, Mesir, Pakistan, Somalia, Yaman dan Iraq yang mengikuti Pakej Malay and Cultural Heritage.

Program Edu-Tourism ini diperkenalkan dengan pakej-pakej yang dirangka khusus dengan objektif untuk menonjolkan kepelbagaian dan keunikan budaya, bahasa serta keindahan dan keistimewaan tempat-tempat yang menarik khususnya di negeri Pahang Darul Makmur dan Malaysia amnya. 

Bagi peserta yang mengikuti Pakej Nature And Adventure Package: A Thrilling Adventure In Taman Negara, mereka berpeluang meneroka keindahan hutan di sepanjang Rentis Teresek dan menikmati keindahan khazanah alam semula jadi dari atas titian kanopi yang tergantung lebih kurang 45 meter dari aras tanah dengan jarak sepanjang 283 meter. 

Para peserta juga berpeluang mempelajari adat resam dan cara hidup Orang Asli yang menetap di Taman Negara serta merasai pengalaman aktiviti rapid shooting. 

Manakala bagi peserta Pakej Malay and Cultural Heritage pula berpeluang merasai adat budaya masyarakat Melayu serta makanan tradisi mesyarakat Melayu. 

Muhammad Fouzun, 21 dari Universitas Muhammadiyah berkata, Program Edu-Tourism ini merupakan satu usaha kerjasama yang bagus antara universiti. 

“Saya amat teruja kerana terpilih sebagai peserta Kohort 1 program ini. 

“Pelbagai aktiviti menarik disusun untuk kami sertai, termasuklah aktiviti treking dan merentasi titian kanopi sambil menikmati keindahan hutan Taman Negara. 

“Malah, kami juga berpeluang untuk berkenalan dengan peserta daripada negara lain yang turut menyertai program ini,” katanya. 

Di samping itu juga, para peserta program turut diraikan pada majlis makan malam yang bertemakan ‘Night Global Culture’ yang diadakan di Warong Tersorok, Felda Panching Selatan. 

16 pelajar antarabangsa kumpulan pertama Edu-Tourism UMPSA

Majlis yang diserikan dengan persembahan gendang dan silat daripada Kumpulan Srikala Satria itu turut dihadiri oleh Naib Canselor UMPSA, Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Pengurus Besar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Haryani Abdullah. 

Pada masa yang sama, kesemua peserta program Edu-Tourism Kohort 1 ini turut dirai pada Majlis Sambutan Riang Raya Aidilfitri yang diadakan pada 9 Mei 2024 di Dataran Aktiviti Pelajar, UMPSA Kampus Pekan.

Pelaksanaan pelbagai aktiviti bagi kumpulan pertama ini dilihat sebagai salah satu langkah dalam mempromosikan program edu-tourism selain program-program akademik sedia ada yang ditawarkan oleh UMPSA. 

Inisiatif yang digerakkan ini diharap mampu menarik minat pelajar luar negara untuk menyambung pengajian di UMPSA. 

Ini secara tidak langsung dapat menjadi salah satu sumber penajaan pendapatan kepada universiti melalui jaringan kerjasama strategik antara negara, industri dan agensi yang terlibat. 

Disediaakan Oleh: Nadira Hana Ab Hamid, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni

Reports by:
Nadira Hana binti Ab Hamid