Arshada Nadia julang Anugerah Tokoh Mahasiswa UMPSA
KUANTAN, 18 Mei 2024 - Pelajar Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik (Robotik) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Arshada Nadia Abdullah, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Mahasiswa di dalam Majlis Anugerah Mercu Sanjung (MARS) baru-baru ini.
Berkongsi tentang perasaannya apabila menerima anugerah ini, Arshada gadis kelahiran Shah Alam, Selangor menyatakan rasa syukur yang mendalam kepada Ilahi atas anugerah ini.
“Saya bersyukur dan tidak menyangka anugerah ini milik saya kerana ramai lagi yang berpotensi tetapi saya yakin akan kebolehan saya dan Alhamdulillah rezeki Allah maha luas.
“Anugerah ini adalah untuk umi dan ayah kerana merekalah tulang belakang saya dalam setiap apa yang saya perjuangkan,” ujarnya.
Bertanya lanjut tentang pencapaiannya sehingga dinobatkan sebagai Tokoh Mahasiswa, anak ketiga ini merasakan semuanya adalah berkat rezeki, doa umi dan ayah, pensyarah-pensyarah serta rakan-rakan seperjuangannya.
“Pemilihan pemenang adalah sepenuhnya di atas tanggungjawab pihak atasan dan saya hanya mencuba menghantar nama bagi pencalonan.
“Jika ditanya, pendapat saya adalah mungkin kerana penglibatan saya sepanjang tahun 2023.
“Saya banyak melibatkan diri dalam program-program anjuran dalam dan luar UMPSA tidak kira dari peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.
Dengan penglibatan ini, beliau telah membawa nama UMPSA ke persada dunia.
Arshada pernah mewakili UMPSA dalam Kongres Ekonomi Bumiputera dan melakukan pembentangan di sana.
Malah, beliau juga aktif melibatkan diri dalam program antarabangsa dan membawa nama UMPSA ke medan antarabangsa.
Contohnya, beliau dijemput mewakili UMPSA ke UK-MUC International Student Consortium dan berjaya memenangi pingat emas di pertandingan tersebut.
Beliau berharap agar semakin ramai mahasiswa mengambil peluang mewakili UMPSA ke pertandingan dan program-program antarabangsa yang mana bukan sahaja dapat mengharumkan nama universiti malah dapat meningkatkan branding profesional dan kebolehpasaran diri.
Pernah dinobatkan sebagai Ikon TVET MARA dan Top 100 Young Asia Talent Award, Arshada mengatakan anugerah ini memberikan impak yang positif kepada dirinya.
“Saya akan lebih bermotivasi untuk perbaiki diri dan meningkatkan kemahiran insaniah supaya saya dapat menghadapi cabaran-cabaran di luar sana.
“Saya juga nekad akan meneruskan perjuangan ini untuk lebih inspirasikan orang sekeliling,” ujarnya.
Berada di tahun 3 dalam pengajian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) kini beliau turut bergiat aktif mewakili UMPSA sebagai Maybank Student Ambassador 2024 dan Axiata Digital Leaders Programme 2024.
Majlis Anugerah Mercu Sanjung (MARS), UMPSA merupakan acara tahunan bagi mengiktiraf mahasiswa yang telah menunjukkan kepimpinan yang holistik dan kompeten selari dengan inisiatif strategik melahirkan graduan holistik telah berlangsung dengan penuh berprestij di Hotel Zenith, Kuantan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 255 views