Skip to main content

Kerja sukarelawan dekat di hati Saiyidatul Marsyitah

PEKAN, 16 Disember 2022- Bermula dengan menjinakkan diri dengan menyertai program anjuran Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) sebagai ahli jawatankuasa Karnival Mahabbah Masjid memberikan ruang buat pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik, Saiyidatul Marsyitah Aisyah Suhaime, 22, melibatkan diri secara serius dalam Program Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
 
Beliau kemudiannya mendaftar sebagai ahli Sekretariat Rakan Siswa YADIM UMP (RSYUMP) sejak tahun satu sehingga kini (tahun empat) dan sepanjang tempoh tersebut Saiyidatul Marsyitah diberi kepercayaan dan pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Program Diskusi Eksklusif Wanita Intelektual (DEWI) dan Pengarah Program Siswi Circle.
 
Selain itu juga, beliau giat menyertai aktiviti sukarelawan termasuklah Sukarelawan Iftar UMP, Program Outreach Community di Kampung Marhum, Pekan, Program Dakwah Ummah@ Perkampungan Orang Asli Sungai Ruai, Raub, Pahang dan Program Jom Lepak Masjid@Masjid Saidina Othman, Bukit Rangin, Kuantan.

Kerja sukarelawan dekat di hati Saiyidatul Marsyitah

Begitu juga dengan penglibatannya di dalam Kelab UMP-Hochschule Community Club (UHCC), beliau juga terlibat dalam menyediakan kertas kerja bagi Program Sambutan Hari Kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pada tahun 2019 sewaktu berada di tahun satu.

Katanya, semasa berada di tahun dua dan tiga, beliau juga merupakan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dalam memastikan kebajikan pelajar terjaga. 

“Pada masa itu juga, saya  turut membantu pihak pengurusan sebagai sukarelawan kemasukan pelajar secara berfasa, penghantaran makanan dan bekalan kepada pelajar (close contact) dan positif COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di universiti,” katanya.
 
Memandangkan di negeri Pahang kerap berlaku bencana banjir, beliau juga sering menyertai program sukarelawan banjir sewaktu memerlukan bantuan.
 
Ujarnya, sifat kepimpinan di dalam dirinya bermula sewaktu di bangku sekolah lagi memandangkan ketika itu kerap diberi tanggungjawab sebagai Penolong Ketua Pengawas dan menerima beberapa lain-lain anugerah di peringkat sekolah, daerah dan kebangsaan. 
 
Malahan di sekolah menengah, bakat kepimpinan diasah melalui penglibatan pertandingan pidato, kawad kaki, olahraga, bola tampar, taekwondo, debat dan bicara berirama.
 
Keterlibatan dalam aktiviti sukarelawan diasah semasa di sekolah menengah ketika menyandang jawatan sebagai Timbalan Presiden Pembimbing Rakan Sebaya. 
Belaiu kerap membantu guru-guru di sekolah sebagai sukarelawan program, majlis dan kejohanan sukan. 
 
Di peringkat Matrikulasi, belia juga turut aktif dalam sukan taekwondo dan futsal. 

Semasa di Matrikulasi beliau menyertai program sukarelawan anjuran Kelab Taekwondo di SJKT Ladang Tebong. 
 
Beliau yang berasal dari negeri Melaka itu menyasarkan sekurang-kurangnya satu program pada setiap bulan dalam menyertai aktiviti kesukarelawan malahan berhasrat menganjurkan program berimpak tinggi dengan kerjasama pihak NGO dan organisasi luar yang berteraskan kesukarelawanan. 

Antara perancangan program pada tahun 2023 termasuklah Konvensyen Plight of Palestine dan Festival Kesenian, Kebudayaan dan Keusahawanan (3K).
 
Saiyidatul Marsyita yang merupakan anak ketiga daripada sepuluh oramg adik-beradik itu berpendapat, universiti adalah tempat  semua ilmu yang ingin dipelajari adalah percuma dan dapat menimba pengalaman setiap kesilapan yang dibuat tidak datang dengan risiko yang terlalu besar.
 
“Belajar di kuliah dan di luar bilik kuliah, kedua-duanya adalah penting. 

“Di dalam kuliah, kita diajar tentang asas pengetahuan, panduan dalam sesuatu ilmu tetapi di luar bilik kuliah adalah tempat kita mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, kerana mengetahui bagaimana untuk mengaplikasikan ilmu tersebut lebih penting,” katanya.  
 
Justeru, beliau menasihatkan pelajar lain untuk melibatkan diri dalam organisasi badan pelajar atau mana-mana program one-off, namun perlu mengikut kemampuan.
 
Tambahnya lagi, jika mampu satu, kita buat satu sudah mencukupi. 

“Sekiranya kita terlibat dengan banyak perkara tetapi tidak dapat mengurus dengan baik akan hanya merugikan masa, membuang tenaga dan menyebabkan tekanan (stress). 

“Namun yang penting, adalah matlamat dan objektif yang jelas terhadap sesuatu yang hendak kita laksanakan,” tambahnya.

Kerja sukarelawan dekat di hati Saiyidatul Marsyitah

Info
 
Sekretariat Rakan Siswa YADIM UMP
-Timbalan Presiden (22/23)
-Bendahari (21/22)
-Timbalan Bendahari (20/21)
-Exco Siswi (19/20) 
 
Majlis Perwakilan Pelajar
-Setiausaha Interim (Penerangan dan Korporat) (22/23)
-Timbalan Yang di-Pertua 2 (21/22)
-Pengerusi Jawatankuasa Aduan dan Perkhidmatan (20/21) 
 
UMP-Hochschule Community Club (UHCC)
-Timbalan Setiausaha (19/20)
-Exco Kebajikan dan Kerohanian (20/21) 
 
Pendidikan/Sekolah: 
-Sekolah Kebangsaan Tampin, Negeri Sembilan (sekarang dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tengku Zainon) 
-Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Besar Tampin  Negeri Sembilan,
-Kolej Matrikulasi Melaka 
 
 Hobi:
 Melayari internet, membaca buku, bersukan, bermain dengan kucing, memasak dan melancong

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit