Skip to main content

Pelajar UMP terima Hadiah Kecemerlangan Duta Besar China

PEKAN, 4 Januari 2023 - Seramai 47 pelajar Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiatong University (BJTU) China yang bakal menyambung pengajian di BJTU menerima sumbangan hadiah kecemerlangan Duta Besar China. 

Pelajar yang dipilih adalah daripada program ijazah dual  UMP–BJTU, Pelajar Asasi UMP dengan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar dengan PNGK cemerlang dan mengikuti program mobiliti di China. 

Hadir dalam program Kaunselor Pendidikan Kedutaan China di Malaysia, Zhao Changtao dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Menurut Zhao Changtao, pihaknya menghargai komitmen UMP dalam menjayakan program kerjasama ini dan sebagai penghargaan pihaknya memberikan sumbangan buat pelajar program ini. 

Pelajar UMP terima Hadiah Kecemerlangan Duta Besar China

“UMP merupakan sebuah universiti teknikal yang terkenal di Malaysia dan ramai jurutera dan serta bakat teknikal telah dilahirkan di sini. 

“UMP juga telah menjalinkan kolaborasi dan kerjasama dengan banyak universiti ternama di China,” katanya. 

Ujarnya, program  ijazah dual ini akan membuka lembaran sejarah di antara UMP dengan BJTU bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik dalam meningkatkan kenahiran teknikal serta membuka peluang yang lebih meluas terhadap pembangunan akademik kedua-dua universiti.

Sementara itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkata, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa kini memerlukan lebih banyak tenaga pakar serta berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.

“Malahan, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan.  

Pihak universiti menghargai sokongan Duta Besar China di Malaysia yang menyumbang sebanyak RMB100,000.00 atau RM65,000 kepada pelajar UMP hasil kerjasama dengan universiti dari China.

Selain itu, UMP turut terlibat dalam banyak kerjasama lain dengan universiti di China termasuk program ijazah dual dengan Universiti Tianjin (TJU) serta program kerjasama dengan Universiti Ningxia (NXU) dan Sichuan Aerospace Vocational College (SCAVC).

UMP telah dilantik sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL yang menjadi peneraju Program Latihan Kemahiran Industri ECRL hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) sejak tahun 2017.

Turut sama hadir dalam program Zhang Tian, Attaché Kedutaan China di Malaysia, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed,  Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab dan Timbalan Pengarah PKSA, Profesor Madya Ir. Dr Chin Sim Yee. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit