Perbincangan Meja Bulat bincang kecekapan digital untuk literasi maklumat secara global
KUANTAN, 18 Mac 2022 – Seramai 24 pakar dari Asia seluruh negara menyertai program perbincangan meja bulat mengenai kecekapan literasi media dan maklumat anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Pertubuhan Ilmiah dan Budaya Pendidikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) yang telah dijalankan secara dalam talian baru-baru ini.
Majlis dirasmikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Dalam ucapannya beliau berkata, program ini merupakan platform untuk mengembangkan pengetahuan dan jaringan kerjasama dalam kompetensi pendigitalan maklumat bersama pakar dari dalam dan luar negara.
Lebih menariknya program ini turut disertai dari pakar pelbagai negara antaranya seperti dari Indonesia, Filipina, Australia, Jepun dan Montenegro.
Antara perkara yang dibincangkan meliputi elemen kompetensi digital, cabaran dan peluang dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap literasi informasi dan media.
Menurut Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie, kemahiran digital amat penting pada abad ini dan celik digital telah menjadi kemestian bagi setiap individu dengan maklumat yang boleh diakses di hujung jari dengan satu klik sahaja.
“Justeru, peranan kita semua amat penting dalam memastikan masyarakat dapat meningkatkan kecekapan literasi digital.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan terima kasih terutama kepada pihak UNESCO dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang sentiasa menyokong program ‘Celik Digital@UMP STEM Lab: Digital Competencies for Information Literacy’ di UMP yang berperanan membantu masyarakat dalam memberi pendedahan literasi digital kepada masyarakat setempat.
“Saya berharap menerusi program ini juga dapat memberi pemahaman yang lebih baik mengenai literasi digital dan seterusnya dapat menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.
Manakala Penolong Naib Canselor, Jabatan Kolaborasi Industri dan Masyarakat (JKIM), Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin berkata, antara resolusi yang dicapai dalam program tersebut adalah untuk mengadakan program kesedaran berkaitan Teknologi Kepintaran Buatan (AI) dalam penyebaran maklumat.
“Selain itu juga, integrasi komponen literasi media dan informasi akan dipertingkatkan di dalam pendidikan formal di sekolah.
“Masyarakat juga akan dididik agar menggunakan amalan terbaik seperti yang disarankan dalam UNESCO Information for All Program iaitu capaian dan analisa maklumat.
"Saya juga mengharapkan usaha ini dapat memupuk masyarakat agar beretika dalam menyebar maklumat bagi mengekang penularan maklumat palsu,” katanya.
Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 107 views