Skip to main content

Kunjungan Duta Besar Jerman ke UMP perkukuh hubungan baik dua hala

PEKAN, 26 Januari 2022 - Kunjungan Duta Besar Jerman ke Malaysia, TYT Dr. Peter Blomeyer ke Universiti Malaysia Pahang (UMP) memperkukuh hubungan baik menjangkau usia 12 tahun jalinan kerjasama akademik antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan institusi pendidikan Jerman dalam mengembangkan model pendidikan kejuruteraan Jerman (Fachhochschule) dalam sistem pendidikan teknikal negara. 

Ketibaan TYT Dr. Peter Blomeyer disambut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Pengarah Pusat Kerjasama Akademik Jerman, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab bersama barisan pengurusan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM). 

Turut sama Dekan FTKMA, Profesor Dr. Mahadzir Ishak, Dekan Fakulti Kejuruteraan Teknologi Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Profesor Madya Dr. Hamdan Daniyal dan Dekan FTKPM, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan.

Kunjungan Duta Besar Jerman ke UMP perkukuh hubungan baik dua hala

Menurut Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli, UMP dan institusi Jerman iaitu Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) Jerman telah memetrai kerjasama erat sejak 27 Mei 2010 dengan pengambilan pertama program dual ijazah Kejuruteraan Mekatronik (UMP-HKA). 

“Kerjasama dengan negara Eropah itu bermula menerusi rundingan UMP dengan Perkhidmatan Pertukaran Akademik Jerman (DAAD) iaitu sebuah agensi kerajaan Jerman yang bertanggungjawab terhadap kerjasama akademik antarabangsa  dengan sokongan pihak kedutaan Jerman dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

“Kunjungan Duta Besar Jerman ini pastinya sangat bermakna buat UMP dalam mengukuhkan hubungan baik khususnya dalam kolaborasi akademik dan program mobiliti melibatkan pelajar UMP serta pelajar dari Jerman.

“UMP turut mempunyai Pusat Kerjasama Akademik Jerman (GACC) yang menyelaras program akademik, promosi, mobiliti pelajar dan kerjasama luar Jerman,” ujarnya. 
 
Pada masa yang sama, Dr. Blomeyer turut berpeluang melawat makmal dan penyelidikan UMP serta beramah mesra dengan pelajar UMP yang sedang mengikuti pengajian program mekatronik dan automotif hasil kerjasama UMP- Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan pelajar program Kejuruteraan Perniagaan dengan pihak Reutlingen University (HsRT).

Dalam menerajui pendidikan kejuruteraan, UMP sebagai salah sebuah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) turut menetapkan sasaran agar semua fakulti dan jabatan di universiti ini perlu menjalinkan program antarabangsa sebagai penanda aras dalam memperkasa pembangunan akademik di universiti ini dalam perancangan Pelan Strategik UMP 2021-2025. 

Bagi Dr. Blomeyer, pihaknya berpuas hati dengan kolaborasi baik antara UMP dengan institusi Jerman dan berbangga dengan pencapaian universiti dalam kebolehpasaran graduan mencapai 96 peratus mendapat pekerjaan. 

“Saya turut dibawa melawat makmal kejuruteraan mekatronik dan automotif dan pada sesi perbincangan turut membicarakan tentang aspek alam sekitar, perubahan iklim (climate change), biodiversiti, teknikal dan sains serta sistem pendidikan (dual system) akademik di Jerman yang boleh menyumbang terhadap kerjasama dalam bidang TVET di negara ini,” katanya.

Dengan adanya Malaysian - German Chamber of Commerce and Industry (MGCC), UMP turut berpotensi untuk menjalinkan kerjasama dan kolaborasi dengan industri yang boleh diterokai pada masa hadapan seiring dengan perkembangan ekonomi yang pesat dan sumbangan sektor perdagangan dan perindustrian dalam negara. 

Malahan hubungan baik ini membolehkan UMP bekerjasama erat dengan nama-nama besar dalam industri dari Jerman seperti Mercedes-Benz, Volkswagen, BMW, Robert Bosch, Muehlbauer Technologies dan Elektrisola yang memberi peluang penempatan latihan industri, pertukaran staf, lawatan industri dan peluang pekerjaan. 

UMP merupakan satu-satunya universiti di Malaysia yang menerima sumbangan anugerah kecemerlangan pelajar daripada pihak Association of German Engineers (VDI) Karlsruhe  yang merupakan pertubuhan yang mempunyai kepakaran kejuruteraan dan teknologi, menyediakan perkhidmatan kepada jurutera, penasihat terhadap ekonomi, politik dan teknologi serta menyumbang kepada aspek teknikal dan saintifik dalam pembangunan kejuruteraan Jerman di peringkat antarabangsa.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 
e-mel: mimirabitah@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit