Skip to main content
Pelajar antarabangsa baharu UMPSA teruja pelajari bahasa Melayu menerusi aktiviti interaktif

Pelajar antarabangsa baharu UMPSA teruja pelajari bahasa Melayu menerusi aktiviti interaktif

MELAKA, 18 Oktober 2026 – Suasana ceria dan penuh keterujaan menyelubungi sesi pengenalan bahasa Melayu apabila seramai 35 pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berpeluang mempelajari asas komunikasi bahasa kebangsaan menerusi aktiviti pembelajaran interaktif yang diadakan di Kem Agrotourism Modal Insan, Melaka, baru-baru ini.

Sesi pembelajaran tersebut merupakan antara pengisian sampingan program International Student Cultural Journey bagi pelajar antarabangsa baharu Semester I Sesi Akademik 2026/2027 yang berlangsung dari 16 hingga 18 Oktober 2026.

Program berkenaan melibatkan penyertaan pelajar antarabangsa dari tujuh buah negara iaitu Yaman, Arab Saudi, Sudan, China, Bangladesh, Indonesia dan Pakistan.

Sesi pengenalan bahasa Melayu itu dikendalikan oleh Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM) UMPSA, Jamilah Bebe Mohamad yang memperkenalkan tiga topik asas komunikasi bahasa Melayu iaitu pengenalan diri, ucapan dan nombor.

Pelajar antarabangsa baharu UMPSA teruja pelajari bahasa Melayu menerusi aktiviti interaktif

Menerusi topik pengenalan diri, para peserta didedahkan kepada cara memperkenalkan nama, negara asal dan maklumat ringkas mengenai diri menggunakan ayat mudah dalam bahasa Melayu.

Bagi topik ucapan pula, pelajar mempelajari ungkapan yang sering digunakan dalam komunikasi harian seperti 'selamat pagi', 'selamat petang', 'selamat malam', 'terima kasih' dan 'sama-sama'.

Selain itu, peserta turut diperkenalkan kepada sebutan nombor dalam bahasa Melayu bagi membantu mereka memahami penggunaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai situasi harian.

Menurut Jamilah, penguasaan ungkapan dan perkataan asas merupakan langkah awal yang penting dalam membina keyakinan pelajar antarabangsa untuk berkomunikasi dengan masyarakat tempatan.

“Melalui pengenalan tiga topik asas ini, kita mahu pelajar antarabangsa mengetahui bahawa bahasa Melayu mudah dipelajari dan boleh digunakan dalam kehidupan seharian mereka.

“Walaupun hanya mempelajari beberapa perkataan dan ayat mudah, sekurang-kurangnya mereka sudah boleh memperkenalkan diri, memberikan ucapan dan menyebut nombor dalam bahasa Melayu. 

“Penggunaan pendekatan pembelajaran interaktif dapat membantu meningkatkan kefahaman pelajar, selain menjadikan proses pengenalan bahasa Melayu lebih santai dan menyeronokkan.

“Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah permainan 'Betul atau Salah', yang memerlukan peserta mengangkat jawapan berdasarkan ketepatan terjemahan perkataan atau ungkapan bahasa Melayu yang dibacakan,” ujarnya. 

Aktiviti seperti ini katanya, bukan sahaja menguji kefahaman pelajar, malah menggalakkan mereka memberikan respons secara spontan dan berani mencuba walaupun baharu pertama kali mempelajari bahasa Melayu. 

Sesi pembelajaran turut diserikan dengan nyanyian lagu rakyat 'Rasa Sayang' yang memperkenalkan peserta kepada keunikan seni dan warisan budaya tempatan.

Melalui aktiviti tersebut, para peserta berpeluang mempraktikkan sebutan bahasa Melayu sambil mengenali lagu tradisional yang dekat dengan masyarakat Malaysia.

Pendedahan awal ini diharap dapat meningkatkan minat pelajar antarabangsa untuk terus mempelajari bahasa Melayu serta menggunakannya ketika berinteraksi dengan warga universiti dan masyarakat setempat sepanjang pengajian di UMPSA.

Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar antarabangsa melalui penguasaan komunikasi asas, pemahaman budaya tempatan dan penerapan nilai saling menghormati dalam persekitaran kampus yang berbilang bangsa.

Diharapkan sesi pengenalan ini dapat menjadi titik permulaan kepada pelajar antarabangsa untuk terus mempelajari dan menggunakan bahasa Melayu sepanjang tempoh pengajian mereka di UMPSA.

Disediakan Oleh: Muhammad Zufli Zuhari, Pejabat Pengarah Kanan (Pengantarabangsaan dan Kerjasama Akademik)

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri