UMPSA, RUTS bakal terokai kerjasama dalam program kejuruteraan dan teknologi
SONGKLA, THAILAND, 19 Februari 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal berkolaborasi dengan Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS), Thailand dalam program kejuruteraan dan teknologi apabila kedua-dua universiti itu bakal menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tidak lama lagi.
Delegasi UMPSA yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar telah mengadakan kunjungan hormat yang turut disertai Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato Ts’. Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan barışan pengurusan tertinggi.
Hadir menyambut delegasi UMPSA, Presiden Rajamangala University of Technology Srivijaya, Profesor Dr. Suwat Tanyaros dan Timbalan Presiden, Profesor Madya Suthep Chooklin.
Pertemuan ini memberi peluang kedua-dua pihak merangka kerjasama melibatkan program mobiliti, pertukaran pelajar dan pensyarah, latihan industri, pembangunan inovasi dan penyelidikan serta perkongsian kepakaran di antara institusi.
Menurut Profesor Dato Ts. Dr. Yuserrie, bertepatan dengan UMPSA sebagai salah sebuah universiti dalam Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), perbincangan ini turut memfokuskan kepada potensi kerjasama bagi program kejuruteraan dan teknologi serta peluang pensyarah RUTS untuk melanjutkan pengajian kedoktoran (PhD) secara ‘remote supervision’.
“Turut dibincangkan ialah program ijazah dual, kursus jangka pendek terutamanya melibatkan AI, Robotik dan program program Upskilling melibatkan Pusat TVET Termaju,” katanya.
Dalam kunjungan itu juga, delegasi berpeluang melawat makmal Program Kejuruteraan Marin di sini.
Turut serta delegasi UMPSA yang terdiri peserta konvoi bermotosikal dan sukarelawan UMPSA Kilau bagi menyempurnakan misi Kembara Mobiliti Lestari UMPSA 'Songkhla Global Exploration' sempena meraikan ulang tahun UMPSA yang ke-22 tahun yang disambut pada 16 Februari 2024.
Disediakan Oleh: Siti Nur Azwin Binti Zulkapri, Pusat Komunikasi Korporat
- 72 views