Kerjasama Strategik UMP dan BJTU dalam program dual ijazah
PUTRAJAYA, 28 April 2021 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiatong University (BJTU) China menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi jalinan kerjasama dalam Program Dual Ijazah UMP-BJTU.
Pemeteraian kerjasama yang membabitkan bidang Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrik ini bakal menyumbang terhadap pembangunan industri rel negara.
Program menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr Mohd. Rosli Hainin menandatangani MoA mewakili UMP dan pihak BJTU diwakili oleh Presiden BJTU, Profesor Dr. Wang Jiaqiong dan Timbalan Presiden (Antarabangsa), Profesor Dr. Guan Zhongliang yang hadir secara dalam talian.
Turut menyaksikan program, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Yang Berbahagia Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Husaini Omar dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.
Menurut Profesor Ir. Dr. Wan Azhar, kepakaran dan pengalaman UMP dan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam bidang teknikal ini begitu relevan dalam menyumbang terhadap kelancaran dan kebolehcapaian matlamat bagi merealisasikan program ini.
“Program dual ijazah ini akan membuka lembaran sejarah di antara UMP dengan BJTU bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik dan membuka peluang yang lebih meluas dalam bidang penyelidikan dan pembangunan akademik kedua-dua universiti.
“Selain itu, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa kini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.
“Malahan, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Hotel Zenith Putrajaya baru-baru ini.
UMP telah dilantik sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL yang menjadi peneraju Program Latihan Kemahiran Industri ECRL hasil rundingan kerjasama pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) sejak tahun 2017.
Ia membabitkan program latihan seperti pengambilan dan pendaftaran peserta, pembangunan silibus, latihan profesional dan latihan industri, penyediaan tenaga pengajar, kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan serta juga menyokong kepada agenda kebolehpasaran graduan institusi pendidikan tinggi (IPT).
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 429 views