Kolaborasi UMP dan industri dalam ICT dan ekonomi digital
PEKAN, 22 Februari 2021- Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 yang kian pesat kini menjadi faktor utama perubahan terhadap dunia pekerjaan.
Kolaborasi Industri-Akademia (IAC) mampu menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara kedua-duanya dalam membangunkan silibus kurikulum, penempatan industri, latihan dan kepakaran.
Penyelidikan dan pembangunan serta menjadi pakar rujuk ke arah melahirkan modal insan turut diberi tumpuan bagi memenuhi keperluan industri terutamanya dalam menerajui bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta ekonomi berasaskan teknologi digital.
Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan pihak Roadcare (M) Sdn. Bhd., Edustats Solution dan Blockworq Sdn. Bhd. bakal memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing dalam pekerjaan, penyelidikan, pendidikan dan perkhidmatan.
Majlis menyaksikan MoU ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Timbalan Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Madya Dr. Saiful Anwar Che Ghani.
Manakala Roadcare (M) Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Wan Imran Wan Omar, Edustats Solution diwakili Pengurusnya, Ooi Hao Lee dan Blockworq Sdn. Bhd. pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Affendy Zulkifli.
Majlis pemeteraian yang berlangsung secara dalam talian itu turut dihadiri Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Fazeeda Mohamad.
Menurut Profesor Ts. Dr Kamal Zuhairi Zamli, menerusi kolaborasi ini juga pihak industri secara menang-menang dapat meraih manfaat melalui akses kepada ekosistem penyelidikan dan inovasi, jaringan (networking), sumber, teknologi dan pengetahuan.
“Situasi ini membolehkan rakan kolaborasi menambah nilai, meningkatkan kecekapan, dan memacu inovasi yang akhirnya meningkatkan imej, menjana keuntungan, dan mengekalkan kemampanan perniagaan masing-masing.
“Sementara itu, syarikat perlu berusaha untuk menjadi lebih berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang kian berubah pada hari ini.
“Syarikat juga perlu melaksanakan strategi untuk mengenal pasti pekerja yang memiliki potensi dan prestasi tinggi yang menjadi faktor penting dalam menentukan kelestarian operasi syarikat terutamanya bagi industri berteraskan pengetahuan,” katanya.
Beliau juga berharap agar kesinambungan kolaborasi ini akan diteruskan dengan penganjuran program-program kerjasama yang lebih erat dan memberikan impak yang positif kepada kedua-dua pihak secara berterusan.
Bagi Dato’ Wan Imran pula, pihaknya menghargai kerjasama ini yang akan turut memanfaatkan bidang akademik, penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pembangunan insan.
“Pihak Roadcare (M) Sdn. Bhd. juga bersetuju menyediakan tempat dan bantuan dalam pelaksanaan Mod Pengajian Industri dalam bidang berkaitan kepada staf dan pelajar UMP di premis kami.
“Ini termasuklah aktiviti bagi tujuan pembelajaran dan penyenggaraan jalan raya serta pengurusan projek,” ujarnya.
Affendy Zulkifli pula berkata, Blockworq merupakan sebuah syarikat system integrator yang memfokuskan pembangunan teknologi digital seiring dengan kemajuan teknologi masa depan.
“Antara aktiviti kami membabitkan kerjasama dalam bidang latihan dan penyelidikan yang berkaitan Digital Education on Big Data, Blockchain dan IR 4.0 Modules buat pelajar dan staf universiti,” katanya.
Pada masa yang sama, Ooi Hao Lee mengharapkan kerjasama membabitkan pihak Edustats Solutions ini akan memanfaatkan pelajar UMP dalam pembangunan dan pelaksanaan program Mod Pengajian 3u1i bagi Sarjana Muda Pengurusan Projek Kepujian
UMP dalam bidang yang bersesuaian seiring dengan hala tuju Pelan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor
- 256 views