Skip to main content

UMPSA dan MIDA memperkukuh kerjasama dalam sektor pembuatan, kejuruteraan dan teknologi

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memperkukuh hubungan kerjasama dengan rakan industri menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara UMPSA dengan Malaysian Investment Development Autjority (MIDA) yang turut melibatkan Malaysian Technical University Network (MTUN) dengan 15 rakan industri hari ini. 

Kerjasama ini menyokong strategi UMPSA untuk memperkukuh hubungan universiti-industri melalui kolaborasi akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan. 

Kerjasama ini juga selaras dengan aspirasi UMPSA dalam mempromosikan TVET dan membangunkan pelajar yang bersedia menghadapi cabaran industri.

Majlis menyaksikan pertukaran dokumen MoU di antara MIDA dan MTUN disaksikan oleh Pengarah Bahagian Perhubungan Industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato' Dr. Mohd Sharil Abdullah. 

Manakala MIDA diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan MTUN dihadiri oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie  Zainuddin, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli. 

Turut sama hadir ialah Timbalan Ketua Pegawai Operasi MIDA, Zalina Zainol, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), UTHM, Profesor Eur Ing. Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahidan. 

Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, kerjasama ini menyerlahkan kepentingan hubungan universiti-industri yang kukuh dalam memupuk ekosistem pendidikan yang dinamik dan tangkas. 

“Majlis hari ini merupakan peristiwa penting dalam membangunkan program yang sejajar secara langsung dengan kemahiran yang diperlukan oleh sektor seperti pembuatan, kejuruteraan dan teknologi. 

“MTUN berfungsi sebagai jambatan penting antara akademia dan industri, memastikan graduan yang dihasilkan bukan sahaja mahir dari segi akademik tetapi juga berkemahiran teknikal serta berkualiti yang mendapat permintaan tinggi dalam industri kini,” katanya.

Dalam majlis yang sama turut menyaksikan MTUN menjalinkan kerjasama dengan 15 rakan industri iaitu UMPSA bertukar dokumen MoU dengan lima rakan industri iaitu The Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) Cawangan Timur, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn. Bhd, (MMHE), Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), MKAY Energy Sdn. Bhd. dan IBG Environment Sdn. Bhd. 

Pihak UTeM pula bertukar dokumen MoU dengan empat rakan industri iaitu Infineon Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd., Texas Instruments Malaysia Sdn. Bhd., Petronas Lubricants International Sdn. Bhd. (PLISB) dan MRL Engineering Sdn. Bhd. 

Manakala UTHM menjalinkan kerjasama dengan tiga rakan industri iaitu Talentbank Sdn. Bhd., Cohu Malaysia Sdn. Bhd. dan Visual In-tech Sdn. Bhd. 

UniMAP pula menjalinkan kerjasama dengan empat rakan industri iaitu Vahtiqa Resources Sdn. Bhd., Global Digital Technologies Sdn. Bhd., AQ Aros Consulting dan Glide Marine Sdn. Bhd. 

UMPSA turut melantik empat Profesor Adjung iaitu Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, Pengarah Kanan Modul Pengeluaran 2 Infineon Technologies, Mohd Jeffery Abdull Manaf, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Berhad, Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan dan Ketua Pegawai Operasi Ranhill Bersekutu Sendirian Berhad, Ir. Dr. Abdul Aziz Abas. 

Mereka ini dilantik dalam kalangan Ketua Pengarah Eksekutif industri melalui CEO@Faculty Programme (CFP) bagi menggalakkan perkongsian pengetahuan antara akademia dan industri dengan menggandingkan CEO terpilih dengan universiti.

Inisiatif ini membolehkan pemimpin industri berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan pelajar dan warga fakulti, seterusnya menyelaraskan program pendidikan di universiti dengan piawaian industri.

Disediakan oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim