UMPSA jalin kerjasama strategik bersama SMACH Venture memperkukuh penyelidikan dan teknologi pertanian mampan
CAMERON HIGHLANDS, 11 Februari 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama SMACH Venture Sdn. Bhd. bagi memperluas kerjasama dalam bidang akademik dan penyelidikan, khususnya melibatkan pembangunan teknologi pertanian mampan.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Tuanku Canselor UMPSA berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan dan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMPSA dan SMACH Venture Sdn. Bhd.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak yang mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
Majlis menyaksikan Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menandatangani MoU bersama wakil SMACH Venture Sdn. Bhd., Yang Hormat Lt. Kol. Dato’ Kurnia Wira Dr. Ir. Thong Kok Sing sekali gus menzahirkan komitmen kedua-dua pihak dalam menjayakan kerjasama strategik universiti–industri.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, kerjasama ini mencerminkan usaha berterusan UMPSA dalam memperluas aringan industri bagi menyokong penyelidikan berimpak tinggidan pembangunan inovasi yang berteraskan keperluan semasa industri.
“Kerjasama ini menjadi platform penting untuk memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pemindahan teknologi, selaras dengan kepakaran UMPSA dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi serta penglibatan aktif SMACH Venture dalam sektor pertanian, khususnya penanaman sayur-sayuran dan aktiviti perdagangan berkaitan.
“Kolaborasi ini membuka ruang kepada penyelidik dan pelajar UMPSA untuk terlibat secara langsung dalam projek penyelidikan dan pembangunan teknologi pertanian mampan, sekali gus menyokong agenda kelestarian dan keselamatan makanan negara,” ujarnya.
Inisiatif ini memfokuskan secara khusus kepada integrasi prinsip ESG (Environmental, Social and Governance) ke dalam kerangka kerja pertanian di tanah tinggi tersebut.
Sebagai institusi TVET Termaju, UMPSA akan menyumbangkan kepakaran terutamanya dalam bidang Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi menjayakan matlamat ini.
Antara skop kerjasama yang dipersetujui merangkumi penyelidikan dan pembangunan teknologi, khidmat perundingan teknikal, perkhidmatan teknikal, pengkomersialan teknologi serta pembangunan bakat dalam bidang pertanian mampan.
Paduka Baginda turut berkenan berkunjung melawat pameran teknologi moden dan inovasi pertanian lestari yang mampu menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian moden dan mampan di Cameron Highlands, seterusnya menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negeri Pahang.

Turut berlangsung kerjasama strategik Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan Wageningen University & Research (WUR), Belanda dan SMACH Venture Sdn. Bhd.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan ahli LPU UMPSA, Profesor Ir. Dr. Mohamad Faizal Jamlos yang juga merupakan Pengarah Kanan, Center for Disaster & Climate Change UMPSA.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Haji Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 39 views
Reports by: