Skip to main content

UMPSA jalin kolaborasi strategik dengan Lestari Aero dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa dan Teknologi Mobiliti

KUALA LUMPUR, 20 April 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai universiti teknikal terbaik di negara ini mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh bidang aeroangkasa melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lestari Aero Industries Sdn Bhd (LAISB), iaitu syarikat aeroangkasa dan berkaitan pertahanan Malaysia yang memberi tumpuan terhadap pembangunan teknologi tinggi dalam menghasilkan inovasi produk berkaitan kejuruteraan aeroangkasa.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias bertukar dokumen dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LAISB, Adj. Profesor Ahmad Joahari Abu Bakar bersempena Pameran Defence Services Asia (DSA) dan NATSEC Asia 2026 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Hadir menyaksikan pertukaran dokumen tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Jabatan Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman. 

Turut hadir Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Haji Ahmad dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato' Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dan Pengarah Kanan Center for Advanced Mobility and Aerospace, Profesor Dr. Rizalman Mamat. 

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, bidang aeroangkasa kini menjadi fokus strategik bagi banyak negara kerana ia memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan teknologi, menyokong keselamatan, memantau alam sekitar serta membuka peluang ekonomi dan kerjaya berkemahiran tinggi.

“Kolaborasi ini sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam bidang aeroangkasa dan pembangunan bakat industri penerbangan melibatkan pembangunan satelit dan dron hingga penyelidikan roket dan sistem udara tanpa pemandu (UAS). 

“Sektor ini dilihat menjadi tulang belakang inovasi yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat dan pembangunan negara.

“Kerjasama ini membuka ruang kepada pengenalpastian bidang kolaborasi berimpak tinggi,” katanya. 

Tambahnya, antara perancangan utama hasil kerjasama itu termasuk penawaran program latihan yang diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Selain itu, peluang kerjasama ini turut mengukuhkan peranan Pusat Mobiliti dan Aeroangkasa Termaju UMPSA sebagai platform nasional pembangunan kemahiran, inovasi dan penyelidikan gunaan.

“Ia adalah langkah signifikan dalam memperkukuh keupayaan penyelidikan dan inovasi universiti dalam bidang teknologi angkasa,” katanya. 

Profesor Ts. Dr Yatimah berkata, menerusi kerjasama strategik ini, ia akan memperluas kemampuan penyelidikan UMPSA dalam bidang aeroangkasa dan seterusnya menyokong agenda nasional untuk membina keupayaan teknologi roket tempatan.

“Selain itu, manfaat utama kerjasama ini adalah kepada pelajar, penyelidik, ahli akademik dan rakan industri yang bakal menikmati pengalaman pembelajaran dan penyelidikan yang lebih dekat dengan keperluan sebenar industri.

“UMPSA amat menghargai kepercayaan yang diberikan pihak LAISB dan yakin kerjasama ini akan terus berkembang demi manfaat institusi, industri serta masyarakat,” katanya. 

UMPSA jalin kolaborasi strategik dengan Lestari Aero dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa dan Teknologi Mobiliti

Selain itu, UMPSA komited untuk memainkan peranan utama dalam memacu pembangunan Pahang Aerospace City. 

Dengan kerjasama projek penyelidikan berimpak tinggi ini, UMPSA yakin dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan sektor aeroangkasa negara dan membuka peluang besar kepada pelajar, penyelidik dan rakan industri dalam bidang teknologi roket.

Kolaborasi ini juga seiring dengan penubuhan Venture Studio UMPSA yang dikenali sebagai Versus pertama di Malaysia yang bakal menjadi pusat inovasi dan pengkomersialan untuk melahirkan syarikat pemula dalam bidang AI, sistem autonomous dan teknologi mobiliti.

Kolaborasi ini memberi impak terhadap usaha membangunkan Pahang Aerospace City melalui syarikat pemacu utama, PACDB dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri Pahang sebagai hab serantau pertama yang menggabungkan penerbangan, aeroangkasa, angkasa lepas serta teknologi digital masa hadapan.

Manakala UMPSA bakal menubuhkan Venture Studio pertama yang bakal menjadi pusat inovasi dan pengkomersialan untuk melahirkan syarikat pemula dalam bidang AI, sistem autonomous dan teknologi mobiliti.

Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim