UMPSA, NEDUET meterai MoU perkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan antarabangsa
PEKAN, 21 Januari 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa apabila memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama NED University of Engineering and Technology (NEDUET), Pakistan dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di UMPSA Pekan.
Majlis menandatangani MoU tersebut melibatkan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Naib Canselor NEDUET, Profesor Dr. Muhammad Tufail, yang disambut mesra oleh pengurusan tertinggi universiti.

Kerjasama strategik ini merangkumi pelbagai bidang utama termasuk penyelidikan dan penerbitan dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal, penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah antarabangsa, aktiviti mobiliti staf dan pelajar, serta permohonan geran penyelidikan antarabangsa secara bersama.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, jalinan kerjasama ini membuka ruang yang lebih luas kepada kedua-dua institusi untuk berkongsi kepakaran, memperkukuh penyelidikan berimpak dan memperluas pendedahan antarabangsa kepada warga akademik serta pelajar.
“NEDUET merupakan sebuah universiti kejuruteraan yang mempunyai reputasi kukuh dan sejarah panjang dalam pendidikan teknikal.
„Kerjasama ini dijangka memberi nilai tambah kepada pembangunan akademik dan penyelidikan UMPSA, khususnya dalam bidang kejuruteraan,” katanya.
NEDUET yang terletak di Karachi, Pakistan merupakan antara universiti kejuruteraan terkemuka negara itu dan telah ditubuhkan sekitar tahun 1921.
Universiti tersebut berada dalam kelompok lima universiti kejuruteraan terbaik di Pakistan, serta menawarkan program kejuruteraan merangkumi Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik dan Kejuruteraan Industri.
Lebih bermakna, hubungan antara kedua-dua universiti ini turut diperkukuh melalui pertukaran alumni apabila seorang alumni NEDUET kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), UMPSA manakala FTKMA juga telah melahirkan seorang alumni yang kini bertugas sebagai pensyarah kanan di NEDUET.
Selain itu, NEDUET dan FTKMA turut merupakan penerima geran Erasmus, iaitu program Kesatuan Eropah bagi pendidikan, latihan, belia dan sukan yang menjadikan hubungan antara kedua-dua universiti ini lebih erat dan strategik dalam pelaksanaan aktiviti akademik serta mobiliti antarabangsa.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim dan Dekan FTKMA, Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham Ghazali.
Kerjasama ini selari dengan aspirasi UMPSA untuk terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan, memperluas jaringan global serta meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan bertaraf antarabangsa.

Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 15 views