Skip to main content

UMPSA perkukuh jalinan global, jalin kerjasama Akademik dan Penyelidikan antarabangsa bersama Amman Arab University Jordan

PEKAN, 13 Januari 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Amman Arab University (AAU), Jordan menerusi Majlis Menandatangani MoU dan MoA yang dilaksanakan secara atas talian.

UMPSA diwakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, manakala AAU diwakili Presiden AAU, Profesor Dr. Mohammad al-Widyan. 

Turut menyampaikan ucapan khas, Duta Besar Malaysia ke Jordan dan Palestin, Tuan Yang Terutama Dato’ Mohamad Nasri Abdul Rahman yang menzahirkan sokongan padu kerajaan Malaysia terhadap pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Jalinan kerjasama yang dimeterai membuka ruang kerjasama strategik meliputi bidang penyelidikan bersama, pertukaran staf dan pelajar, penerbitan bersama, program akademik jangka pendek, program ijazah dual serta inisiatif akademik lain yang dipersetujui bersama.

UMPSA perkukuh jalinan global, jalin kerjasama Akademik dan Penyelidikan antarabangsa bersama Amman Arab University Jordan

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, jalinan kerjasama ini bakal menjadi asas kepada perkongsian akademik yang bermakna dan berimpak tinggi.

“Hari ini, kita bukan sekadar memeterai satu perjanjian, tetapi menandakan permulaan kepada satu jalinan akademik yang bermakna. 

“Di UMPSA, kami percaya kerjasama yang kukuh dibina atas kepercayaan dan digerakkan oleh manusia yang sanggup bekerjasama merentas sempadan, disiplin dan budaya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama ini telah dimulakan dengan Geran Padanan UMPSA, dengan kelulusan tiga projek penyelidikan bersama melibatkan ahli akademik UMPSA dan AAU, berjumlah keseluruhan RM80,000.

“Geran ini melambangkan komitmen UMPSA untuk memastikan kerjasama antarabangsa yang dijalinkan bersifat aktif, bermakna dan berimpak sejak peringkat awal.

“UMPSA melihat Jordan sebagai rakan strategik yang sehaluan dengan aspirasi universiti teknikal muda itu dalam memperkukuh jaringan global berteraskan nilai, ilmu dan tujuan bersama.

“Kerjasama UMPSA dan AAU ini dijangka terus berkembang merangkumi pertukaran akademik, penyeliaan pascasiswazah bersama serta pelaksanaan inisiatif global pada masa hadapan selari dengan agenda pengantarabangsaan UMPSA dan pemerkasaan pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Hadir sama Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), ChM. Profesor Mohd Hasbi Ab Rahim, Pengarah Kanan Pusat Pembangunan Strategik dan Akademik, Profesor Ts. Dr. Che Ku Mohamad Faizal Che Ku Yahya, Dekan Pusat Sains Kemanusiaan, Profesor Hasan Ahmad, Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Akademik, Profesor Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab, dan Pengarah Pusat Jaringan Global, Profesor Madya Ts. Dr. Herma Dina Setiabudi. 

Mewakili delegasi Amman Arab University (AAU) terdiri daripada Timbalan Presiden (Perancangan dan Jaminan Kualiti), Profesor Husam al-Hamad, Penolong Presiden Hal Ehwal Akademik/Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan Saintifik, Profesor Ismail Yamin, Penolong Presiden Hal Ehwal Kewangan dan Pentadbiran, Nadia Alqodemat, Penolong Dekan Penyelidikan Saintifik dan Pengajian Siswazah, Dr. Mohammad Shehab, dan Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Hubungan Luar, Dr. Abdalla al-Rawashdeh.

Turut hadir wakil Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan, Ketua Canselori,  Wan Faizatul Afzan Ismayatim serta Ketua Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Penyelidikan, Education Malaysia Jordan, Dr. Zeyad Faisal al-Azzam. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri