UMPSA perkukuh jaringan antarabangsa dengan dua universiti dari Uzbekistan
PEKAN, 9 April 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini melakar detik penting dalam pengantarabangsaan pendidikan tinggi apabila memeterai kerjasama strategik bersama dua institusi dari Uzbekistan.
Majlis menyaksikan Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Rektor Namangan State Technical University (NamSTU), Profesor Dr. Oybek Ergashev dan Rektor Samarkand State Architecture and Construction University (SamSACU), Dr. Cigdem Canbay Turkyilmaz.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha dan Timbalan Rektor International Cooperation, NamSTU, Dr. Ilhom Abdurahmonov.
Turut serta Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam, Profesor Madya Dr. Noram Irwan Ramli dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, pertemuan ini bukan sekadar formaliti institusi, tetapi kesinambungan hubungan yang telah pun sedia terjalin sebelum ini.
“UMPSA terus komited memperkasa bidang kejuruteraan, teknologi dan TVET Termaju di samping melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir, tetapi juga adaptif dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi,” ujarnya.
Menurutnya, dalam aspek pengantarabangsaan, UMPSA memberi fokus kepada pengukuhan reputasi dan keterlihatan global melalui kerjasama strategik antarabangsa, mobiliti pelajar dan staf serta penyelidikan bersama berimpak tinggi.
“Kerjasama ini menjadi jambatan yang menghubungkan bukan sahaja institusi, tetapi juga budaya, idea dan masa depan, selari dengan aspirasi UMPSA dalam melahirkan graduan berdaya saing global.
“Jalinan strategik ini sekali gus memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal yang progresif dan terus mengorak langkah sebagai pemain global dalam landskap pendidikan tinggi seiring dengan agenda Pelan Strategik UMPSA 2026-2030,” katanya.
Turut berlangsung persembahan kebudayaan daripada Kelab Kencana Pawana dan Kumpulan Aural Adrenaline, Kelab Sigma Melodi menghiburkan tetamu dengan dendangan lagu Empat Dara, Pantun Budi dan Lemak Manis dinyanyikan oleh Mohammad Azhar Jailani dan Nurul Muslihah Tuzzaman Kamaruzaman.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 23 views
Reports by: