Skip to main content

UMPSA, Rail Option perkukuh kerjasama pembangunan komponen baharu industri rel

PEKAN, 23 September 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Rail Option Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh bidang kejuruteraan rel, khususnya menerusi penyelidikan, pembangunan komponen serta latihan industri. 

Program berlangsung di Dewan Kuliah 1, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), UMPSA Pekan bersempena Majlis Syarahan Umum Profesor, FTKPM oleh Pensyarah FTKPM, Profesor Ir. Dr. Haji Nik Mohd Zuki Nik Mohamed.

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) menyaksikan Dekan FTKPM, Profesor Ir. Dr. Ahmad Razlan Yusoff bertukar dokumen dengan Pengarah Eksekutif Rail Option Sdn. Bhd., Albukhary Awang. 

UMPSA, Rail Option perkukuh kerjasama pembangunan komponen baharu industri rel

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim bin Mohamed hadir mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts Dr Yatimah Alias.

Menurut Profesor Ir. Dr. Ahmad Razlan, kerjasama bersama Rail Option membuka ruang lebih luas kepada universiti untuk menghubungkan kepakaran akademik dan penyelidikan dengan keperluan sebenar industri rel.

“Kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti dengan industri, khususnya dalam bidang kejuruteraan rel yang memerlukan kepakaran, teknologi dan inovasi. 

“Melalui kerjasama ini, kita mahu memastikan hasil penyelidikan dan kepakaran UMPSA dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang mempunyai nilai kepada industri, di samping memberi ruang kepada pelajar dan penyelidik mendapat pendedahan secara langsung kepada dunia industri,” katanya.

Sementara itu, Albukhary berkata, kerjasama tersebut membuka ruang untuk menerokai peluang yang lebih besar dalam industri rel susulan perkembangan sektor berkenaan di Malaysia.

“Bagi saya, kerajaan telah membelanjakan lebih daripada RM200 bilion dalam bidang kereta api dan dah tibalah masanya untuk kita menerokai ruang-ruang yang ada,” katanya.

Tambahnya, pada peringkat awal kerjasama bersama UMPSA, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membangunkan satu komponen yang telah dikenal pasti sebelum melalui proses pengilangan bagi kegunaan dalam bidang rel.

“Pada peringkat yang pertama ini, kita telah bersetuju untuk bekerjasama dengan UMPSA untuk membina satu komponen yang telah dipilih sebelum melalui proses pengilangan bagi menghasilkan komponen baharu untuk kegunaan dalam bidang rel,” katanya.

Rail Option menawarkan perkhidmatan Railway Engineering Services dengan pengkhususan dalam penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan (Maintenance, Repair and Overhaul – MRO), stok kereta api (rolling stock) serta komponen berkaitan.

Melalui MoU berkenaan, UMPSA dan Rail Option bersetuju untuk memperkembangkan jalinan kerjasama yang memfokuskan kepada penyelidikan dan latihan industri. 

Kerjasama itu turut dilihat berpotensi memperkukuh peranan UMPSA dalam pembangunan teknologi dan inovasi sektor rel, selain membuka peluang kepada penglibatan pensyarah, penyelidik dan pelajar dalam projek yang mempunyai hubungan secara langsung dengan industri.

Pada masa sama, usaha pembangunan komponen rel secara bersama dapat menjadi platform kepada penerokaan keupayaan tempatan dalam menghasilkan produk dan penyelesaian yang diperlukan oleh sektor rel.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat (PKK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri