Skip to main content

UMPSA anjur Misi Ekosistem Inklusif Lestari (MEiLESTARI 2024): Karnival Keluarga Makmur

KUANTAN, 7 November 2024 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menganjurkan Misi Ekosistem Inklusif Lestari (MEiLESTARI 2024): Karnival Keluarga Makmur dengan kerjasama Kluster Kekeluargaan di bawah Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang 2022-2026 (DPTWP) di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan baru-baru ini. 

MEiLESTARI 2024 dengan kerjasama Kluster Kekeluargaan di bawah DPTWP ini telah dirasmikan oleh Mazlina Mohamed@Mohamad Lazim, Ketua Unit Pembangunan Wanita dan Sosial, wakil rasmi kepada Yang Berhormat Dato’ Sabariah Saidan, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang. 

Program ini diadakan bagi mencapai beberapa objektif utama iaitu memberi pendedahan kepada peserta tentang konsep dan formula Keluarga LESTARi yang inklusif, menyediakan dan melengkapkan diri kepada peserta maklumat dan ilmu pengetahuan dalam cabaran alam perkahwinan. 

Di samping itu juga ia bertujuan untuk memberikan pendedahan dan perkongsian petua serta inspirasi kisah kejayaan Keluarga LESTARi bagi meminumkan kadar penceraian di awal usia perkahwinan satu hingga lima tahun dan meningkatkan keupayaan daya tahan institusi perkahwinan serta usaha mengekalkan ikatan perkahwinan yang menjadi tunjang kepada Keluarga LESTARi.

Ketua Unit Pembangunan Wanita dan Sosial, Pejabat SUK Negeri Pahang, Mazlina Mohamed@Mohamad Lazim berkata, sebuah keluarga yang makmur akan melahirkan anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan boleh dipertanggungjawabkan termasuk dalam menjaga kebajikan golongan insklusif.

UMPSA anjur Misi Ekosistem Inklusif Lestari

“Tidak dinafikan institusi kekeluargaan yang mempunyai atau terlibat dengan golongan insklusif atau orang kurang upaya (OKU) menuntut tanggungjawab yang lebih termasuk pengorbanaan masa dan wang ringgit. 

“Mereka ini bukan sahaja memerlukan sokongan moral tetapi juga memerlukan sokongan dari pelbagai aspek lain khususnya berkaitan kemudahan-kemudahan yang spesifik. 

“Terdapat beberapa ciri yang boleh ditekankan dalam sesebuah keluarga makmur seperti bersifat inklusif, menyediakan sistem sokongan yang padu, memberi sepenuh kasih sayang, mempunyai sifat belas kasihan yang tinggi kepada ahli keluarga yang memerlukan bantuan serta mempunyai keluarga yang menjadi tempat untuk mendapat ketenangan,” ujarnya. 

Tambahnya lagi, semua ciri-ciri keluarga makmur ini sepatutnya menjadi landasan dan pegangan setiap dari kita agar dapat menjana sebuah institusi kekeluargaan yang dapat membantu kepada proses pembangunaan negara ini. 

“Berpegang teguh kepada prinsip ‘No One Left Behind’, kita seharusnya terus sama-sama menyokong usaha mewujudkan institusi keluarga yang makmur dan memberi peluang yang sama kepada golongan inklusif,” katanya. 

Menurut Pengarah Unit Perkhidmatan OKU UMPSA (OkUMPSA), Dr. Munira Abd Razak yang juga merupakan Ketua Projek MEiLESTARI 2024 dan Jawatankuasa Kluster Kekeluargaan DPTWP,  kelestarian keluarga merupakan tunjang penting dalam melahirkan masyarakat yang lestari dan harmonis. 

“Bagi golongan OKU, sokongan keluarga adalah satu kekuatan yang bukan sahaja membangkitkan semangat mereka, tetapi turut menjadi dorongan utama dalam menghadapi kehidupan. 

“Sokongan ini adalah lebih dari sekadar keperluan asas, ia adalah sumber motivasi, keyakinan diri, dan pemangkin yang memungkinkan mereka untuk mencapai potensi sebenar. 

“UMPSA komited dalam hala tuju pembangunan mampan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk golongan OKU dapat menikmati peluang pendidikan yang berkualiti,” tambahnya.

Turut diadakan sepanjang program berlangsung ialah forum bertajuk ‘Tip Keluarga Makmur: Pakat Membawa Berkat’ dan pelancaran Modul Keluarga Makmur, Kalendar Keluarga Makmur Inklusif dan Festival Sambutan Bulan OKU Sedunia (fOKUs) 2024 serta penyampaian anugerah apresiasi kepada 14 kategori penerima. 

Karnival ini turut dimeriahkan dengan kehadiran jemputan daripada jawatankuasa Kluster Kekeluargaan Negeri Pahang dan agensi serta komuniti sekitar negeri Pahang. 

Para jemputan juga dihiburkan dengan persembahan daripada Gudang Karya Kopratasa, pameran fotografi yang berkonsepkan keluarga makmur dan aktiviti mencanting batik.  

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad