SEPANG – Empat institusi pendidikan tinggi (IPT) menerima surat kelulusan sementara sebagai Pusat Verifikasi Kualiti (Quality Verification Centre, QVC) bagi Stand-Alone Micro-Credentials (SAMC), dalam satu langkah strategik untuk memperluas akses dan fleksibiliti dalam pendidikan tinggi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pelantikan institusi itu sebagai QVC adalah sebahagian daripada usaha memperkasa pelaksanaan kursus micro-credentials yang berkualiti tinggi dan selari dengan piawaian Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).
Katanya, QVC akan menilai kursus SAMC ditawarkan oleh institusi dan penyedia yang ditetapkan dengan menyelaraskan elemen kualiti pelaksanaan dan penilaian pembelajaran seperti yang dianjurkan oleh MQF.
“QVC juga akan memudah cara pendaftaran kursus yang telah disahkan ke dalam Daftar Micro-credential MQA, sekali gus membuka laluan kepada pengiktirafan yang lebih luas dan mobiliti pembelajaran lebih fleksibel.
“Kini, micro-credential dilihat sebagai alternatif baharu kepada laluan pendidikan konvensional,” katanya selepas majlis ringkas penyerahan surat kelulusan QVC, di Mercu MQA. Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan.
Empat institusi yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti MAHSA, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), masing-masing diwakili oleh Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias; Naib Canselor MAHSA, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ikram Shah Ismail; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman; dan Pengarah Pusat Swaakreditasi USM, Prof. Azira A. Rashid.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, inisiatif pengenalan QVC relevan dalam senario semasa apabila ramai lepasan sekolah memilih untuk bekerja terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian.
Katanya, micro-credentials akan menjadi pintu masuk semula ke universiti pada masa depan.
“Ia membuka peluang kepada mereka yang tidak dapat mengikuti pendidikan secara konvensional untuk tetap memperoleh kelayakan tinggi melalui pembelajaran fleksibel dan berfasa.
“QVC akan berperanan sebagai rakan kolaborasi strategik kepada MQA dalam menilai dan mengiktiraf kursus yang ditawarkan oleh institusi, agensi mahupun industri, serta menyusun semula kredit melalui sistem bank kredit sedia ada,” katanya.
Mohammad Shatar menjelaskan, keempat-empat IPT terbabit diberikan kelulusan sementara dan perlu menjalankan sekurang-kurangnya 25 penilaian permohonan kursus SAMC dalam tempoh enam bulan sebelum layak memohon kelulusan penuh sebagai QVC.
Katanya, pihaknya tidak mahu QVC sekadar simbolik, tetapi menjadi ejen jaminan kualiti yang progresif, cekap dan diyakini masyarakat serta industri.
Beliau menyeru rakyat Malaysia agar tidak berasa terhalang untuk menyambung pengajian, meskipun bermula dari mana-mana tahap sekalipun.
“Jika bukan secara konvensional, micro-credentials adalah ruang dan peluang baharu untuk anda meneruskan pengajian ke peringkat universiti.
“Langkah ini dijangka memperkukuh ekosistem pembelajaran sepanjang hayat dan menyokong transformasi pendidikan tinggi negara agar lebih inklusif, terbuka dan sejajar dengan perkembangan global,” katanya. – MalaysiaGazette