Skip to main content

283 produk inovasi bakal dipertandingkan dalam Pameran CITREX mulai esok

GAMBANG, 18 Jun 2025 – Sebanyak 283 produk inovasi bakal dipertandingkan dalam 15th Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (CITREX) 2025 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Kampus Gambang bermula 18 hingga 19 Jun 2025.

Program anjuran oleh Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) itu memperlihatkan komitmen UMPSA dalam memperkasakan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan generasi muda. 

CITREX 2025 yang membawa tema ‘Inovasi Pemacu Kelestarian Masa Hadapan’ itu menghimpunkan seramai 83 staf dan pelajar pascasiswazah, 127 pelajar prasiswazah serta 73 dari pelajar sekolah. 

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha, penganjuran CITREX merupakan inisiatif tahunan strategik UMPSA yang bertujuan memperkenalkan dan mengetengahkan produk penyelidikan serta inovasi universiti kepada pelbagai pemegang taruh. 

“Ia juga menjadi platform saringan dan pemilihan awal sebelum penyertaan universiti ke peringkat pertandingan dan pameran inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Malaysia Technology Expo (MTE), International Invention, Innovation, Technology Competition & Exhibition, Malaysia (ITEX) dan PECIPTA,” katanya. 

Majlis Perasmian Penutupan dan pengumuman keputusan pertandingan serta penyampaian anugerah akan berlangsung pada 19 Jun 2025 ini. 

Antara kategori utama yang dipertandingkan ialah Anugerah Inovasi Emas, Perak, Gangsa serta Anugerah Khas ‘Best of The Best CITREX 2025’. 

Produk-produk yang diketengahkan merangkumi pelbagai bidang termasuk Teknologi Kejuruteraan, Sains Gunaan, Teknologi Hijau dan Pembangunan Sosial.

CITREX berperanan sebagai medan penzahiran hasil penyelidikan UMPSA kepada masyarakat dan industri sekali gus menyokong Agenda Pengkomersialan serta memperluas impak universiti kepada negara.

Selain itu, penganjuran CITREX adalah manifestasi UMPSA dalam mendepani cabaran Revolusi Industri Keempat dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui penekanan kepada penyelidikan yang bersifat inovatif, lestari dan berimpak tinggi. 

Program itu turut mendapat penyertaan daripada institusi luar seperti politeknik, IPTS, sekolah menengah dan rendah sebagai usaha memupuk minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda.
 
Dengan sokongan pelbagai entiti termasuk Pusat Inovasi dan Komersialisasi, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Data serta fakulti-fakulti, CITREX 2025 terus menjadi antara pameran inovasi tersohor di peringkat universiti yang mengangkat martabat UMPSA sebagai peneraju teknologi dan inovasi negara. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim