Skip to main content

IJIM UMPSA terima pengiktirafan dalam Majlis Scopus Research Star Award 2026

PUTRAJAYA, 18 November 2026 - International Journal of Industrial Management (IJIM), terbitan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), telah menerima Anugerah Pengiktirafan Jurnal CREME Kategori MyCite bagi Kategori Seni Kemanusiaan dan Sains Sosial (AHHSS) dalam Majlis Scopus Research Star Award 2026, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini. 

IJIM memfokuskan penerbitan penyelidikan berkualiti dan berimpak dalam bidang pengurusan industri, pengurusan perniagaan, kewangan, ekonomi dan kelestarian, dengan penekanan terhadap penyelidikan yang menyumbang kepada pembangunan ilmu, peningkatan kecekapan organisasi, daya saing industri serta pembangunan ekonomi mampan.

Hadir menerima anugerah, Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Ketua Editor IJIM, Profesor Dr. Irene Ting Wei Kiong. 

Turut sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor ChM. Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim. 

Anugerah telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Hotel Le Méridien Putrajaya

Menurut Profesor Dr. Irene, pengiktirafan ini merupakan hasil komitmen kolektif pasukan editorial, para penilai dan penyumbang artikel dalam memastikan kualiti serta integriti penerbitan ilmiah.

"Pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian bermakna kepada IJIM dan UMPSA. 

“Ia bukan sahaja mengiktiraf usaha berterusan dalam memperkukuh kualiti penerbitan ilmiah, malah menjadi pemangkin kepada IJIM untuk terus meningkatkan impak penyelidikan, memperluas jaringan akademik antarabangsa serta menghasilkan penerbitan yang relevan kepada pembangunan industri dan masyarakat,” ujarnya. 

Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Yatimah berkata, sebagai platform penerbitan ilmiah antarabangsa, IJIM berperanan menghubungkan penemuan penyelidikan akademik dengan aplikasi praktikal dalam industri, di samping menggalakkan perkongsian ilmu dan kerjasama penyelidikan dalam kalangan sarjana tempatan dan antarabangsa.

“Pengiktirafan yang diterima dalam Majlis Scopus Research Star Award 2026 ini mencerminkan usaha berterusan IJIM dalam memperkukuh kualiti penerbitan, keterlihatan penyelidikan, pengaruh akademik dan reputasi jurnal. 

“Malahan, sekali gus menyokong aspirasi UMPSA untuk meningkatkan kecemerlangan penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. 

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Ahmad Rizal Adnan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Regional Vice-President, Solution Sales APAC Elsevier, Jessica Low dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Dato’ Sri Dr. Osman Bakar.

Majlis Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award (MRSA) merupakan satu usaha KPT untuk mengiktiraf penyelidik dalam penghasilan karya ilmiah yang berkualiti dan berimpak tinggi terhadap sosial dan pembangunan negara serta pengiktirafan kepada jurnal Malaysia yang telah memperlihatkan prestasi tinggi dalam pangkalan data.

Oleh: NAQIAH PUAAD, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
Foto: ZAFFARUDDIN HAMZAH, PEJABAT NAIB CANSELOR
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim