Penemuan ilmu baharu dalam penulisan jurnal berimpak
KUANTAN, 21 Julai 2022 – "Apabila kita membuat penyelidikan, kita dapat mendalami ilmu tersebut dengan lebih mendalam dan secara tidak langsung ia akan memudahkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
“Kemudian penemuan ilmu-ilmu baharu itu dizahirkan dalam bentuk penulisan jurnal yang mampu dikongsi dengan semua mengenai penyelidikan dan teknologi,” ujar Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli yang berjaya meraih anugerah Cendekia Bitara dan Sanjungan Penerbitan Jurnal dalam Majlis Anugerah Cendekia Bitara baru-baru ini.
Penerbitan jurnal bertajuk “Optimizing S-Box Generation Based on the Adaptive Agent Heroes and Cowards Algorithm meraih Anugerah Cendekia Bitara manakala tiga tajuk lain iaitu Hybrid Henry Gas Solubility Optimization Algorithm with Dynamic Cluster-to-Algorithm Mapping, Selective Chaotic Maps Tiki-Taka Algorithm for The S-Box Generation and Optimization dan A Systematic Review on Emperor Penguin Optimize meraih Anugerah Sanjungan.
Ujar Profesor Ts. Dr. Kamal, sebagai ahli akademik bukan sahaja perlu mengajar tetapi perlu juga membuat penyelidikan dan melaksanakan penerbitan melalui penulisan jurnal berilmiah.
“Saya akui dengan memikul tanggungjawab yang besar, pengurusan masa amat penting dalam membahagikan masa antara waktu mengajar dan penyelidikan.
“Saya berharap anugerah ini dapat mendorong agar semua ahli akademik mengambil peluang ini untuk bersama-sama meningkatkan penerbitan jurnal,” katanya.
Seorang lagi menerima anugerah ACB, Profesor Ir. Dr. Mohd Faizal Jamlos yang merupakan Profesor Kolej Kejuruteraan (KKEJ), UMP turut melahirkan kesyukuran kerana diberi peluang ini dan menganggap rezeki berganda apabila dalam masa yang sama turut terharu kerana telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pengarah Wakil Senat baharu UMP bermula pada 16 Jun 2022 baru-baru ini.
Menurut Profesor Ir. Dr. Mohd Faizal, dengan geran antarabangsa yang diterima daripada pihak filpal (s) Ptd. Ltd yang berpangkalan di Singapura dan geran industri CREST mencerminkan kepercayaan dari pihak industri terhadap penyelidik UMP terutama dalam bidang terkini iaitu bidang IoT dan Machine Learning yang sangat significant terutama dalam penyelidikan moden akuakultur, pertanian dan alam sekitar.
“Geran-geran ini diperlukan bagi membiayai projek yang dihasilkan terutama yang berkaitan dengan Big Data, Internet-of-Things (IoT) dan Machine Learning (ML).
“Dalam pada itu, para pelajar pascasiswazah juga memainkan peranan dalam membangunkan prototaip dan penghasilan jurnal-jurnal berimpak tinggi Q1 bagi membantu universiti dalam menaikkan penarafan QS Ranking dan THE Ranking serta membantu usaha meningkatkan MyRA universiti,” katanya.
Mereka adalah antara 219 orang ahli akademik yang menerima anugerah ACB dan Anugerah Sanjungan dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Program yang bertemakan ‘Pillars of The New Dawn’ ini merupakan satu motivasi kepada penyelidik lain di universiti untuk menghasilkan penyelidikan setanding di peringkat antarabangsa.
Anugerah telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini Pekan, Tuan Mohd Sharim Md Zain yang mewakili Menteri Besar Pahang.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahman, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin dan pengurusan tertinggi.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 242 views