Penyelidik UMPSA Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal bangunkan Latihan Siber Berasaskan Realiti Maya
PEKAN, 6 Ogos 2025 - Menyedari bahawa latihan keselamatan siber konvensional sering kali kurang memberi impak kerana ketiadaan elemen simulasi realistik, satu pasukan penyelidik Fakulti Komputeran (FK) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Ab Razak telah membangunkan CyberSecure VR iaitu satu sistem latihan berasaskan realiti maya (VR) yang imersif dan interaktif.
Penyelidikan ini turut mendapat kerjasama daripada Ts. Dr. Danakorn Nincarean a/l Eh Phon, Ts. Dr. Ahmad Firdaus Zainal Abidin dan Ts. Dr. Nor Saradatul Akmar Zulkifli serta wakil dari Citra Digital, Amirul Aidil Hasnul Azan dan Mohamad Danial Nabil Mohamad Yusof.
Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Faizal, CyberSecure VR bertujuan untuk meningkatkan kemahiran tindak balas terhadap ancaman siber dalam kalangan pelajar dan tenaga kerja.

“Pengguna sistem ini akan memakai set VR dan berinteraksi dalam dunia maya yang menyerupai persekitaran kerja sebenar.
“Mereka perlu bertindak balas terhadap ancaman seperti serangan phishing dalam masa nyata.
“Setiap tindakan pengguna akan dianalisis untuk tujuan pembelajaran dan penilaian,” ujarnya.
Tambahnya, penyelidikan yang bermula pada bulan Januari 2024 ini telah melalui dua fasa penting iaitu pembangunan modul micro-credential yang siap pada bulan Jun 2024, diikuti dengan pembangunan prototaip VR serta reka bentuk senario pembelajaran yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2025.
“CyberSecure VR mendapat sokongan daripada Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik (PIDA) menerusi geran Pengajaran dan Pembelajaran (PPU230106) bernilai RM27,000.
“Ia disasarkan menjadi platform latihan siber kompetensi yang mudah diakses dan mampu meningkatkan kesedaran siber dalam masyarakat.
“Usaha ini turut menyokong pembangunan modul micro-credential bagi kursus seperti Ethical Hacking melalui kerjasama bersama CIREL UMPSA,” katanya.
Penyelidikan ini juga telah memperoleh Nova T: Emerging Tech dan Outstanding Business Management Micro-Credential Award dalam Pameran Creation, Innovation, Technology and Research Exposition (CITREX) 2025 anjuran UMPSA pada 18 hingga 19 Jun 2025 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.

Selain itu, pasukan penyelidik juga merancang untuk memperluaskan sistem dengan lebih banyak modul simulasi seperti pengurusan krisis dan forensik siber.
Mereka juga berharap dapat bekerjasama dengan agensi latihan profesional untuk memperakui program ini sebagai modul CPD-certified, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan tenaga kerja dalam sektor keselamatan siber.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Binti Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 85 views
Reports by: