Skip to main content

Penyelidikan Dr. Noormazlinah SMART SSB hasilkan tambahan nutrisi terhadap tanaman

PAYA BESAR, 1 Disember 2022 - Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Dr. Noormazlinah Ahmad berjaya menghasilkan produk yang menggabungkan sisa pepejal oleochemical dan prebiotik yang dapat memberikan kebaikan dan tambahan nutrisi kepada tanaman.

Siapa menyangka pada awalnya kajian dijalankan bersama pihak industri bagi menyelesaikan masalah sisa pepejal oleochemical dan masalah pencemaran alam sekitar yang kian membimbangkan akhirnya menghasilkan produk yang dapat memanfaatkan masyarakat bukan sahaja di Malaysia malahan di luar negara.

Apatah lagi terhadap negara yang mempunyai masalah seperti kekurangan air dan nutrisi dalam tanah yang terhad kepada beberapa jenis tanaman sahaja.

Menurut Dr. Noormazlinah, setelah melakukan analisis dan penelitian terhadap sisa pepejal tersebut, beliau mendapati sisa tersebut mengandungi nutrisi yang dapat digunakan untuk tanaman. 

Penyelidikan Dr. Noormazlinah SMART SSB hasilkan tambahan nutrisi terhadap tanaman

“Maka, timbullah idea untuk menjadikan produk tersebut berguna sebagai bahan untuk menambah nutrisi pada tanaman terhasil daripada sisa pepejal tersebut.

“Produk yang dinamakan sebagai SMART SSB ini  juga dapat digunakan sebagai bekas tanaman, sama ada hendak diletakkan di dalam tanah atau diletakkan bersama pasu tanaman yang lain memandangkan ia dapat memberikan nutrisi tambahan kepada tanaman.

“Di samping itu, SMART SSB ini juga mempunyai daya tahan serapan air serta mempunyai sifat biodegradasi yang menjadikan produk ini mesra alam dan dapat digunakan di kawasan tanah gersang,” katanya.

Dr. Noormazlinah mengharapkan usaha ini dapat menghasilkan  produk atau penyelidikan yang dapat memberi manfaat dan dapat digunakan untuk menanam di kawasan yang kekurangan air atau kekurangan nutrisi dalam tanah sekitarnya.

“Usaha ini dapat meningkatkan kadar pertanian dan dapat dijadikan salah satu solusi untuk menghadapi krisis makanan atau tanaman pada masa akan datang.

“Produk ini dapat ditambah baik dari segi cara pemprosesan bekas tanaman dan kandungan serta formulasi yang digunakan sekarang ini.

“Selain itu, hasil penyelidikan ini juga turut mendapat kerjasama daripada pihak industri, iaitu FPG Oleochemicals Sdn. Bhd. di bawah geran MTUN bersama UMP,” ujarnya.

SMART SSB tersedia dalam beberapa saiz, iaitu saiz S, M dan L dan anggaran kos bagi saiz yang dinyatakan adalah RM5, RM10 dan RM15 setiap satu.

Produk ini juga telah mendapat pengiktirafan apabila memenangi pingat emas dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa Tahun 2022 (PECIPTA) yang diadakan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) baru-baru ini.  

UMP memenangi tujuh pingat emas, empat pingat perak dan satu pingat gangsa dalam PECIPTA 2022.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit