Skip to main content

UMPSA cipta sejarah lahirkan profesional RTTP pertama

PEKAN, 2 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti berteraskan teknologi dan inovasi apabila berjaya melahirkan Registered Technology Transfer Professional (RTTP) pertama dalam kalangan warganya, sekali gus memperkukuh agenda pemindahan teknologi dan pengkomersialan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

RTTP merupakan pengiktirafan profesional antarabangsa yang dianugerahkan kepada individu yang mempunyai pengalaman, kompetensi dan rekod pencapaian cemerlang dalam bidang pemindahan teknologi, pengurusan harta intelek, pengkomersialan penyelidikan serta kerjasama strategik antara universiti dan industri.

Pengiktirafan berprestij itu diterima oleh Pegawai Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (Innovation and Technology Transfer Centre - ITC) UMPSA, Nizam Rashid, daripada Alliance of Technology Transfer Professionals (ATTP), United Kingdom, sebuah badan profesional antarabangsa yang menetapkan piawaian global dalam bidang pemindahan teknologi, pertukaran ilmu dan pengkomersialan inovasi.

Menurut Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (ITC) UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Aizzat Zakaria, kejayaan tersebut bukan sekadar membanggakan individu, malah membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam membangunkan kepakaran bertaraf antarabangsa bagi memperkukuh ekosistem inovasi universiti.

"Pengiktirafan RTTP ini merupakan satu pencapaian yang amat bermakna kepada UMPSA dengan membuktikan bahawa kepakaran yang dimiliki warga universiti telah memenuhi standard profesional antarabangsa dalam bidang pemindahan teknologi. 

“Pengiktirafan itu turut mengukuhkan peranan ITC sebagai pemacu utama dalam mempercepatkan proses pemindahan teknologi dan pengkomersialan hasil penyelidikan universiti agar dapat dimanfaatkan oleh industri serta masyarakat.

“Dengan adanya profesional RTTP dalam organisasi akan meningkatkan keupayaan universiti melaksanakan amalan terbaik bertaraf global dalam pengurusan inovasi dan pemindahan teknologi," ujarnya. 

Beliau turut berharap agar lebih ramai pegawai dan penyelidik UMPSA akan mengikuti jejak langkah tersebut bagi memperkukuh kapasiti universiti sebagai peneraju teknologi dan inovasi negara.

Sementara itu, Nizam berkata, pengiktirafan RTTP yang diterimanya merupakan satu amanah besar untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekosistem inovasi universiti.

"Alhamdulillah, saya bersyukur atas pengiktirafan yang diterima. 

“Ia bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi pemangkin untuk saya terus menyumbang kepada usaha memperkukuh ekosistem inovasi UMPSA melalui amalan terbaik dalam pemindahan teknologi, pengkomersialan penyelidikan dan jaringan kolaborasi strategik di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan universiti atas kepercayaan dan sokongan berterusan yang diberikan sepanjang proses memperoleh pengiktirafan profesional tersebut.

Usaha memperoleh pensijilan RTTP itu mendapat pembiayaan penuh daripada Kementerian Ekonomi melalui program pembangunan kompetensi profesional yang melibatkan tiga siri bengkel, iaitu dua siri di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan satu siri lagi di Kuala Lumpur.

Sebagai pusat yang menerajui agenda inovasi universiti, ITC UMPSA berperanan menghubungkan penyelidik, industri, agensi kerajaan dan pelbagai pemegang taruh dalam memastikan hasil penyelidikan universiti berjaya diterjemahkan kepada penyelesaian teknologi yang memberi impak kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

ITC turut menyelaras pengurusan harta intelek, penilaian teknologi, pembangunan kerjasama strategik, pelesenan teknologi serta laluan pengkomersialan penyelidikan, sekali gus memperkukuh peranan UMPSA dalam menyokong agenda inovasi negara.

Pengiktirafan RTTP ini juga mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkasakan budaya kecemerlangan profesional, memperluaskan jaringan kolaborasi antarabangsa serta meningkatkan impak penyelidikan universiti melalui pemindahan teknologi yang lebih strategik, beretika dan berdaya saing di peringkat global.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri