UMPSA perkasa peranan akademia di Hari Terbuka Armada 2026
KUANTAN, 2 Mei 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyerlahkan peranan institusi akademia dalam pembangunan komuniti dan inovasi apabila turut serta dalam Hari Terbuka Armada (HTA) 2026 anjuran Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1) bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun ke-92 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang di sini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Azman Rabani yang turut menyaksikan pelbagai pameran melibatkan agensi keselamatan, industri dan institusi pengajian tinggi.
Dalam sesi lawatan ke reruai pameran, beliau turut meluangkan masa mengunjungi reruai UMPSA yang menampilkan inisiatif berimpak tinggi, antaranya produk minyak gris, pelincir untuk jentera, senjata dan aset ketenteraan, pencuci terbiodegradasi untuk sektor perkapalan yang mesra alam sekitar serta program kelestarian ekonomi asnaf zakat melalui penternakan itik penelur (KELIP).
Program berimpak tinggi ini dirangka khusus untuk mentransformasikan golongan asnaf menjadi pengusaha mikro yang kompeten dalam sektor agromakanan, khususnya penternakan itik penelur.
Delegasi UMPSA yang diketuai oleh Ts. Haji Mohd Najib Razali dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) bersama Eksekutif Projek MNR Multitech Sdn. Bhd., Masrizal Masadi memberikan penerangan mengenai teknologi sokongan industri pertahanan serta potensi projek penternakan itik penelur dalam meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti ketenteraan terutama kepada bakal pesara untuk menjana pendapatan tambahan.
Penyertaan UMPSA dalam program ini juga mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasakan peranan akademia sebagai pemangkin pembangunan masyarakat melalui penyelidikan, inovasi dan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak.
Penganjuran HTA 2026 bukan sahaja mengeratkan hubungan antara TLDM dan masyarakat, malah menjadi platform pendidikan yang signifikan dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pertahanan dan keselamatan maritim negara.
Oleh: Wallid Wahidi Hamzah, Pusat Komunikasi Korporat
- 13 views