Skip to main content

UMPSA raih 6 pingat, Ts. Nurul Wahidah dinobat Best Women Inventor Award dalam ITEX 2026

KUALA LUMLUR, 19 Mei 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus melakar kejayaan membanggakan apabila meraih empat pingat emas dan dua pingat perak dalam 37th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2026 yang berlangsung pada 18 hingga 20 Mei 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Lebih membanggakan, pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Ts. Nurul Wahidah Arshad turut menerima pengiktirafan khas Best Woman Inventor Award menerusi inovasi DEWBoard©️, sekali gus mengangkat nama UMPSA di pentas antarabangsa.

Penyelidikan DEWBoard©️ merupakan kit pembelajaran elektronik digital yang dibangunkan bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran kursus elektronik digital secara lebih interaktif, praktikal dan mesra pengguna.

Menurut Ts. Nurul Wahidah, inovasi ini direka khas untuk membantu pelajar memahami konsep litar digital melalui pendekatan pembelajaran secara hands-on tanpa terlalu bergantung kepada kemudahan makmal yang kompleks.

“Kit pembelajaran ini mempunyai reka bentuk kompak dan mudah alih, menggunakan kuasa rendah dan hanya memerlukan USB power bank sebagai sumber tenaga.

“Selain itu, DEWBoard©️ juga tidak memerlukan pendawaian rumit dan penggunaan peralatan makmal berskala besar, sekali gus menjadikannya lebih fleksibel serta sesuai digunakan dalam bilik kuliah dan aktiviti pembelajaran TVET.

“Pembangunan DEWBoard©️ bermula hasil maklum balas pelajar yang mahukan kaedah pembelajaran lebih efektif dan mudah digunakan dalam memahami aplikasi elektronik digital.

Turut menang pingat emas, pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Ts. Dr. Nurmunira Muhammad bagi projek ‘BIOFORGE GROUNDFIX: Innovative Sustainable Bacteria Catalyst to Enhance MICP Process’ dan Ts. Muhamad Ridzuan Radin Muhamad Amin dari FTKEE bagi projek ‘Energy Consumption Tracking Platform’.

Di samping itu juga, projek ‘CAMKenderaan Black Box for Vehicle Forensic Investigation’ oleh pensyarah FTKEE, Dr. Syukran Hakim Norazman turut menang pingat emas.

Manakala pensyarah FTKEE, Ts. Mohd Hisyam Mohd Ariff dengan projek ‘WaveExtend 5G Antenna for Wireless Router’ dan pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Dr. Zulhelmi Ismail dengan projek ‘Paperbot: When Paper Comes to Life’ berjaya memenangi pingat perak.

UMPSA raih 6 pingat, Ts. Nurul Wahidah dinobat Best Women  Inventor Award dalam ITEX 2026

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias merakamkan penghargaan tahniah buat para penyelidik UMPSA dan kejayaan ini membuktikan kemampuan penyelidik UMPSA menghasilkan inovasi yang bukan sahaja kreatif dan lestari.

“Malah, ia juga berpotensi memberi impak besar kepada masyarakat dan industri menerusi penyelesaian teknologi berteraskan pendidikan, tenaga, komunikasi serta keselamatan.

“Semoga pencapaian cemerlang ini akan terus menjadi pemangkin kepada budaya inovasi dan penyelidikan dalam kalangan warga universiti selain memperkukuh jaringan kerjasama strategik di peringkat global,” ujarnya. 

Penyertaan UMPSA dalam pertandingan berprestij itu menjadi platform penting bagi mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi universiti di peringkat nasional serta antarabangsa, selaras dengan aspirasi universiti dalam memperkasakan ekosistem penyelidikan, inovasi dan pembangunan teknologi masa hadapan.

Majlis perasmian ITEX 2026 disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Norsham Abdul Latip.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Aida Mustapha. 

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri