Bengkel Asas Tari UMPSA pupuk kesedaran pelihara seni budaya bangsa
GAMBANG, 5 Januari 2025 – Seramai 45 orang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Bengkel Asas Tari anjuran Kelab Tarian Kencana Pawana dengan kerjasama Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (BKKW), Pusat Sukan dan Kebudayaan UMPSA pada 3 hingga 5 Januari 2025 di Studio Tari, Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang.
Menurut pengarah program merangkap Presiden Kelab Kencana Pawana UMPSA, Nur Assyakirin Amran, para peserta telah didedahkan dengan asas teori dan praktikal empat tarian Melayu iaitu inang, joget, zapin dan asli.
“Program ini merupakan satu platform yang penting untuk mempelajari dan mengekalkan warisan budaya kita.
“Seni tari Melayu bukan sahaja mencerminkan keindahan gerak tubuh badan, malah ia juga membawa nilai sejarah, falsafah dan identiti bangsa yang seharusnya terus disemai dalam jiwa setiap generasi muda.
“Program seperti ini perlu dikekalkan kerana ia dapat mencungkil bakat terpendam mahasiswa UMPSA yang beraliran teknologi dan kejuruteraan, bukannya dari pengkhususan seni tari,” ujar pelajar tahun tiga Fakulti Pengurusan Industri (FPI) itu.
Tambah beliau lagi, melalui bengkel ini, para peserta dan tenaga pengajar sangat mudah bekerjasama serta dapat berinteraksi dengan baik untuk mengekalkan semangat peserta menguasai teknik asas tari.
“Saya berharap para peserta dapat membawa pulang ilmu yang telah diperoleh dan semoga bengkel ini dapat melahirkan minat dan kesedaran yang mendalam dalam kalangan peserta bahawa pentingnya seni tari Melayu sebagai khazanah yang perlu dipelihara,” katanya
Bengkel telah dikendalikan oleh tenaga profesional jemputan yang juga Pegawai Kebudayaan Universiti Malaya (UM), Mohd Hairil Anuar Bari.
Turut hadir Penasihat Kelab, Shahrul Nizam Othman dan Ketua Bahagian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Pusat Sukan dan Kebudayaan UMPSA, Mohd Zaki Ahmad.
Disediakan Oleh: Noor Afiza Mohd Asmi, Pusat Sukan dan Kebudayaan
- 58 views