Skip to main content

Kelab Tae kwan do ITF UMPSA raih 2 pingat perak dan 1 gangsa di Hwa Rang Asia Cup 2026

KUALA LUMPUR, 6 September 2026 – Kelab Tae kwan do ITF Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih dua pingat perak dan satu pingat gangsa dalam Kejohanan Hwa Rang Asia Cup Taekwon-Do Championship 2026 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Kelab Tae kwan do ITF itu berlangsung dari 3 hingga 6 September 2026 dan menghimpunkan peserta daripada pelbagai pasukan bagi menguji keupayaan, disiplin serta semangat kesukanan dalam seni pertahanan diri Taekwon-Do ITF.

Kontinjen UMPSA yang mendapat bimbingan Penasihat Kelab Tae kwan do ITF UMPSA, Mohammad Baihaqi Hasni menampilkan tiga atlet yang berjaya membawa pulang pingat dalam kategori masing-masing.

Kelab Tae kwan do ITF UMPSA raih 2 pingat perak dan 1 gangsa di Hwa Rang Asia Cup 2026

Muhammad Muizzuddin Ahmad Zol dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) berjaya meraih pingat perak dalam kategori Sparring Black Belt - 60 kilogram.

Sementara itu, Nur Shahira Mohd Sufian dari Fakulti Kejuruteraan (FK) pula turut menyumbang pingat perak dalam kategori Sparring Senior Colour Belt Above 65 kilogram. 

Kelab Tae kwan do ITF UMPSA raih 2 pingat perak dan 1 gangsa di Hwa Rang Asia Cup 2026

Muhammad Naufal Ruzlan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) pula berjaya memperoleh pingat gangsa dalam kategori Sparring Black Belt – 66 kilogram. 

Menurut Mohammad Baihaqi, pencapaian tersebut membuktikan kesungguhan atlet Kelab Taekwon-Do ITF UMPSA dalam meningkatkan prestasi serta bersaing di peringkat yang lebih tinggi. 

“Penglibatan dalam kejohanan ini turut memberi peluang kepada atlet untuk menimba pengalaman pertandingan, menguji kemahiran dan memperkukuh keyakinan diri dalam suasana persaingan antarabangsa.

“Penyertaan kelab dalam kejohanan ini juga selari dengan objektif penubuhannya untuk memupuk semangat berpasukan dan daya saing dalam kalangan peserta. 

“Pengalaman beraksi dalam kejohanan kompetitif dapat membentuk disiplin, ketahanan mental serta sikap saling menyokong antara atlet,” ujarnya. 

Di samping itu juga katanya, kejohanan seperti ini menjadi platform untuk menggalakkan atlet Tae kwan do ITF UMPSA menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa. 

“Pendedahan tersebut penting bagi memperluas pengalaman dan membuka ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan potensi dalam bidang sukan.

“Malah, penglibatan mahasiswa dalam seni pertahanan diri turut menyokong usaha membudayakan gaya hidup sihat dan aktif. 

“Aktiviti latihan dan pertandingan dapat membantu membina kecergasan fizikal, meningkatkan disiplin diri serta menarik minat lebih ramai mahasiswa dan mahasiswi untuk menyertai kegiatan sukan di dalam dan di luar kampus,” katanya. 

Tambah beliau lagi, kejayaan Kelab Tae kwan do ITF UMPSA di Hwa Rang Asia Cup 2026 diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan kelab dalam melahirkan atlet yang berdaya saing, berdisiplin dan mampu mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Disediakan Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni, Pusat Bahasa Moden (PBM)

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri