Skip to main content

UMPSA gegar Litar Dato’ Sagor, sasar juara FSM2026

PASIR SALAK, 22 April 2026 – Kelab Motorsport Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kini bersedia menggegar Litar Dato’ Sagor, Perak Darul Ridzuan dalam saingan Formula Student Malaysia 2026 (FSM2026) yang berlangsung bermula 21 hingga 23 April 2026. 

Seramai 29 pelajar daripada gabungan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Antomotif (FTKMA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Fakulti Kompueran (FK, dan Fakulti Pemgurusan Industri (FPI) berentap bagi membawa cabaran universiti dalam arena kejuruteraan berprestasi tinggi ini.

UMPSA gegar Litar Dato’ Sagor, sasar juara FSM2026

Pertandingan Formula Student Malaysia (FSM) merupakan platform berprestij yang mencabar pelajar membina kereta formula tempat duduk tunggal untuk bersaing dengan pasukan dari seluruh dunia. 

Uniknya, FSM bukan sekadar perlumbaan mencari jentera terpantas, malah menguji pakej keseluruhan pasukan termasuk proses pembinaan, prestasi litar, perancangan kewangan, dan strategi jualan. 

Setiap prototaip yang dibangunkan perlu memenuhi kriteria imbangan antara pecutan, brek, dan pengendalian, di samping mengambil kira nilai estetika dan penggunaan teknologi terkini dengan kos yang berpatutan.

Bagi pertandingan kali ini, pasukan UMPSA diketuai oleh Ketua Pasukan, Danish Harith Hassan manakala tugas mencabar di litar akan digalas oleh dua pemandu utama, Syed Muhammad Syafiq Syed Azami dan Muhammad Syahmi Husaini Mohd Fitri. 

Di bawah bimbingan penasihat kelab, Dr. Mohd Fadzil Abdul Rahim, mereka akan bertanding dalam dua kategori utama iaitu 150CC Internal Combustion Engine (ICE) dan Electric Vehicle (EV).

Majlis pelepasan (Flag Off) telah disempurnakan dengan penuh simbolik oleh Dekan FTKMA, Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham Ghazali di perkarangan fakulti baru-baru ini. 

Profesor Ir. Dr. Mohd Fairusham Ghazali menekankan kepentingan inovasi dalam pendidikan melalui aplikasi pembuatan automotif secara praktikal. 

“Prestasi setiap pasukan bakal dinilai oleh juri pakar daripada industri sukan permotoran dan automotif, merangkumi penilaian statik seperti kos dan pembentangan jualan, serta ujian dinamik di atas trek untuk menguji ketahanan jentera dalam persekitaran sebenar.

“Membawa momentum kejayaan cemerlang dalam pertandingan NxGV pada tahun 2025 yang lalu, Kelab Motorsport UMPSA (e-Motion) tekad untuk membuktikan bahawa kepakaran anak tempatan mampu bersaing di peringkat global. 

“Seluruh warga universiti mendoakan agar pertandingan ini dipermudahkan dan jentera yang dibina dengan keringat para pelajar ini mampu memberikan saingan sengit,” ujarnya. 

Semoga pasukan UMPSA beroleh kejayaan yang gemilang di Litar Dato' Sagor dan terus menjadi pelopor inovasi automotif negara. 

UMPSA gegar Litar Dato’ Sagor, sasar juara FSM2026

Oleh: Ts. Dr. Azri Alias, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Dan Automotif
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim