UMPSA laksanakan validasi 3 program kawal selia di Muscat College, Oman
MUSCAT, OMAN, 5 November 2024- Delegasi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang diketuai oleh Dekan Fakulti Komputeran (FK), Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar Kamaludin dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Dr. Mohd Hanafiah Ahmad berkunjung ke Muscat College, Muscat, Oman bagi melaksanakan validasi tiga program kawal selia UMPSA di universiti berkenaan.
Turut sama hadir, Eksekutif Kanan, Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), Zahiruddin Mohd Zain.
Program yang terlibat ialah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian dan Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem dan Rangkaian Komputer) dengan Kepujian di bawah FK.
Manakala bagi FPI pula ia melibatkan program Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian.
Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Adzhar, pada sesi lawatan ini juga pihaknya turut menjalani sesi audit dokumentasi, temu bual bersama pelajar dan pensyarah serta melihat kemudahan fasiliti di Muscat College.
“Sesi audit ini diakhiri dengan mesyuarat Exit Meeting bagi menambah baik pengoperasian dan dokumentasi bagi ketiga-tiga program kawal selia UMPSA ini,” ujarnya.
Sementara itu, Dr. Mohd Hanafiah berkata, kunjungan UMPSA juga memberi peluang kepada mereka untuk mengadakan sesi temu bual dan menjalankan beberapa aktiviti bagi penambahbaikan program kawal selia di Muscat College.
Turut berlangsung Seminar Implementasi Kaedah Outcome Based Learning (OBE) dalam penilaian dan pengajaran program kawal selia serta Bengkel Implementasi Kaedah OBE dengan menggunakan contoh soalan peperiksaan akhir.
Dalam pada itu, para pelajar di Muscat College juga berpeluang mendapatkan informasi untuk menyambung pengajian di UMPSA bagi pengajian pascasiswazah di peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD) hasil kerjasama kedua-dua institusi ini.
Sehingga kini, seramai 303 pelajar Muscat College Oman sedang mengikuti pengajian program Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dengan Kepujian, Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem dan Rangkaian Komputer) dengan Kepujian dan Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian yang dikawal selia oleh UMPSA.
Disediakan oleh: Zahiruddin Mohd Zain, Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA)
- 61 views