Skip to main content

Mansuh AUKU: Bina kerangka perundangan baharu dengan lebihkomprehensif - UMPSA

KUANTAN: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) merupakan satu perkembangan penting dalam transformasi pendidikan tinggi negara.
Keperluan untuk memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi melalui pembentukan suatu akta baharu perlu lebih komprehensif seiring dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 menerusi agenda One Higher Education Act yang merupakan peluang penting untuk membentuk sistem pendidikan tinggi yang lebih bersepadu, dinamik dan berdaya saing.

Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, berkata perkembangan itu perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas kerana AUKU bukan semata-mata berkaitan hal ehwal atau kebebasan mahasiswa, sebaliknya turut menjadi antara asas penting kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti.

Justeru, katanya, pemansuhannya perlu disusuli dengan kerangka perundangan baharu yang jelas, menyeluruh dan mampu mendepani keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan.

"Seperti yang dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pembentukan kerangka baharu akan dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kepimpinan universiti, ahli akademik, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, industri, penyedia TVET, pakar perundangan serta mahasiswa.

"UMPSA menyambut baik cadangan ini dan bersedia menyumbang kepakaran terhadap usaha KPT dalam membangunkan kerangka demi memajukan ekosistem pendidikan tinggi negara.

Author
azwin