UMPSA Perkasa Pembelajaran bahasa Mandarin Melalui Sesi Kolaboratif Bersama Confucius Institute
PEKAN, 29 DISEMBER 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan sesi pengajaran kolaboratif bahasa Mandarin yang memberi pengalaman pembelajaran baharu dan berasaskan budaya kepada pelajar iaitu melibatkan dua kelas terpilih subjek Bahasa Mandarin (ULM1312) di Pusat Bahasa Moden (PBM) UMPSA Pekan pada 10 hingga 22 Disember 2025.
Sesi kolaboratif ini menampilkan kerjasama di antara guru PBM, Kang Mei Feng dengan Leong Hui Theng, bersama Volunteer Language Teacher (VLT) dari China, Jiang Hanshi (Jiang Laoshi), di bawah Confucius Institute (CI).
Kehadiran Jiang Laoshi memperkaya proses pengajaran dengan pendekatan dua hala yang menekankan komunikasi aktif dan penerokaan elemen budaya Cina.
Sepanjang empat sesi kolaboratif, pelbagai aktiviti interaktif telah dijalankan termasuk permainan bahasa berkaitan topik masa, penceritaan asal-usul tulisan Cina dan penerokaan budaya tradisional.
Aktiviti ini membolehkan pelajar memahami bahasa secara kontekstual, meningkatkan kemahiran komunikasi, dan mengurangkan kebergantungan kepada hafalan semata-mata.
Menurut Pengarah CI UMPSA Profesor Madya Ts. Dr. Lee Khai Loon, program ini memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar dengan memperkenalkan bahasa sebagai medium komunikasi dan budaya yang hidup.
“Pendekatan kolaboratif ini selari dengan usaha universiti dalam memperkukuh pengantarabangsaan pendidikan,” katanya.
Jiang Hanshi menyifatkan pengalaman mengajar di UMPSA sebagai sangat bermakna.
“Para pelajar menunjukkan sikap positif dan minat tinggi terhadap pembelajaran.
“Saya gembira dapat berinteraksi secara langsung dengan pelajar dan berkongsi pengalaman yang memperkukuh kemahiran pedagogi saya,” katanya.
Pelajar PBM, Ahmad Najmi Azuan berkongsi bahawa kelas kali ini memberikan peluang untuk belajar dengan dua guru serentak, menjadikan proses pembelajaran lebih berkesan dan menyeronokkan.
Ammar Haiqal Azhar pula menyatakan bahawa pendekatan penceritaan dan aktiviti kreatif menjadikan pembelajaran bahasa Mandarin lebih menarik dan kontekstual.
Dalam kelas terakhir, pelajar didedahkan kepada kepentingan perayaan dan konsep musim melalui aktiviti membuat tangyuan, makanan tradisional Cina daripada tepung pulut bersempena perayaan Dongzhi (Winter Solstice) yang memberikan pengalaman pembelajaran budaya yang praktikal dan bermakna.

Ketua Program Bahasa Asing UMPSA, Dr. Nor Yazi Khamis menegaskan bahawa program kolaboratif ini menyediakan platform pembelajaran dua hala yang memberi manfaat kepada semua pihak.
“Selain memperkaya pengalaman pelajar, sesi ini turut memupuk perkongsian amalan pedagogi dan pengetahuan di kalangan tenaga pengajar.
“Program ini menyerlahkan falsafah pendidikan UMPSA yang menekankan integrasi bahasa, budaya, dan pengalaman pembelajaran praktikal untuk menghasilkan pelajar yang berkemahiran, berpengetahuan dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa.”
Disediakan Oleh: Leong Hui Theng, Pusat Bahasa Moden (PBM)
- 92 views
Reports by: