PERKEMBANGAN pesat media sosial, khususnya platform berasaskan video pendek seperti TikTok dan Instagram Reels, telah membawa perubahan ketara dalam penggunaan bahasa untuk difahami oleh pengguna media sosial.
Dalam konteks Malaysia yang bersifat majmuk dari segi bahasa, budaya dan agama, fenomena ini menjadi semakin kompleks dan signifikan.
Bahasa di media sosial bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi, malah ia bertindak sebagai pengantara pembinaan identiti, penyampaian nilai serta perundingan yang memberi makna dalam ruang digital yang bersifat global dan pantas berubah.
Penggunaan istilah dan ungkapan popular seperti ‘POV’, ‘soft life’, ‘main character’, ‘healing era’ dan ‘it’s giving’ mencerminkan ciri utama komunikasi digital, iaitu ringkas, ekspresif dan sarat dengan makna yang tersirat.
Walaupun penggunaan hashtag generik seperti #fyp masih wujud dalam ekosistem media sosial, peranannya dalam menentukan jangkauan kandungan telah berkurang dalam konteks algoritma semasa dalam tahun 2025 sehingga kini.
Algoritma platform kini lebih menekankan konten menarik yang mempunyai faktor seperti kreativiti, konteks kandungan dan tahap interaksi pengguna.
Namun demikian, istilah tren ini kekal signifikan sebagai penanda wacana sosial yang difahami bersama oleh komuniti pengguna.
Dalam kalangan netizen Malaysia, istilah-istilah ini sering digabungkan dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, menghasilkan gaya komunikasi hibrid yang mencerminkan realiti masyarakat dwibahasa.
Contohnya, ungkapan seperti “It’s giving cikgu confident” “POV: first day kerja tapi aura kuat” atau “In my healing era lepas semester yang penat” memperlihatkan amalan code-mixing yang kreatif dan kontekstual.
Fenomena ini bukan tanda kelemahan pada penggunaan bahasa, sebaliknya mencerminkan kecekapan komunikatif penutur dalam memilih sumber linguistik yang sesuai dengan pembaca, medium dan tujuan komunikasi.
Dalam konteks pendidikan bahasa, keupayaan ini merupakan satu kemahiran linguistik yang wajar dihargai, dibimbing dan dimanfaatkan secara beretika. Dari sudut pembinaan identiti individu, bahasa media sosial memainkan peranan penting dalam membolehkan pengguna membingkai naratif diri mereka.
Tren penggunaan istilah seperti main character dan penandaan fasa kehidupan melalui konsep ‘era’ membolehkan individu menampilkan identiti, emosi dan aspirasi secara terbuka.
Ungkapan seperti ‘in my confident era’ atau ‘in my soft life era’ bukan sekadar gaya bahasa, tetapi mencerminkan keinginan untuk kawalan naratif diri dalam ruang digital.
Bagi netizen Malaysia, khususnya golongan belia dan profesional muda, bahasa ini menjadi medium untuk menyeimbangkan identiti tempatan dengan pengaruh budaya global.
Selain identiti individu, bahasa media sosial turut menyumbang kepada pembinaan identiti kolektif. Hashtag dan label komuniti seperti #malaysiantiktok, #muslimtok dan #asiantiktok pula berfungsi sebagai ruang representasi budaya, agama dan nilai masyarakat.
Melalui kandungan berkaitan adat, amalan keagamaan, kehidupan seharian, netizen Malaysia memperkenalkan jati diri dalam ruang digital global.
Bahasa yang digunakan sering memaparkan nilai kesantunan, hormat dan kebersamaan, selari dengan norma sosial masyarakat Malaysia, walaupun disampaikan dalam bentuk yang lebih santai dan kreatif.
Dari segi kebaikan, bahasa media sosial menawarkan beberapa potensi positif yang signifikan. Pertama, ia membuka ruang ekspresi diri yang lebih inklusif dan demokratik, membolehkan individu daripada pelbagai latar belakang menyuarakan pandangan dan pengalaman mereka.
Kedua, bahasa media sosial membantu menormalisasikan perbincangan tentang kesejahteraan mental dan emosi. Tren seperti soft life dan healing era mencerminkan peralihan nilai dalam masyarakat Malaysia ke arah kesedaran tentang keseimbangan hidup, kesihatan mental dan empati sosial.
Ungkapan seperti ‘burnout is real’ atau ‘take care of yourself’ dulu menggambarkan nilai keprihatinan dan sokongan yang semakin diterima dalam wacana awam.
Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa media sosial juga mempunyai keburukan yang tidak boleh diabaikan. Bahasa yang terlalu dipengaruhi tren dan bersifat ringkas berpotensi membawa kepada penyederhanaan makna serta pemikiran yang cetek.
Istilah seperti ‘side eye’, ‘doing too much’ atau ‘cancel’ sering digunakan untuk menilai atau menghukum individu lain tanpa perbincangan yang berfakta dan beretika.
Amalan ini bercanggah dengan nilai musyawarah, toleransi dan kesantunan yang menjadi teras komunikasi dalam masyarakat Malaysia.
Selain itu, penafsiran melampau terhadap konsep main character berpotensi menggalakkan individualisma berlebihan. Walaupun konsep ini boleh menyumbang kepada pembinaan keyakinan diri, ia juga boleh mewujudkan tekanan sosial untuk sentiasa kelihatan berjaya, bahagia dan sempurna.
Dalam konteks pendidikan, tekanan ini boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan pelajar apabila pencapaian diri diukur berdasarkan persepsi media sosial, bukannya perkembangan sebenar individu dari segi akademik, emosi dan sosial.
Bahasa media sosial juga mempengaruhi pembentukan nilai secara tidak langsung. Tanpa literasi digital yang kritikal, pelajar dan belia berisiko meniru bahasa dan tren tanpa memahami implikasi budaya, etika dan konteks penggunaannya. Ini boleh membawa kepada penggunaan bahasa yang kurang sopan, pengukuhan stereotaip atau normalisasi tingkah laku negatif.
Oleh itu, keupayaan untuk menilai dan mentafsir bahasa media sosial secara kritis menjadi satu keperluan penting dalam pendidikan masa kini.
Dari perspektif pendidikan, bahasa media sosial wajar difahami sebagai satu bentuk literasi baharu yang sejajar dengan perkembangan teknologi dan budaya semasa.
Pendidik tidak seharusnya menolak penggunaannya secara mutlak, sebaliknya mengintegrasikannya secara terancang dan beretika dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan termasuk analisis bahasa media sosial, perbincangan nilai yang tersirat dalam trend tertentu, serta perbandingan antara bahasa formal dan tidak formal mengikut konteks penggunaan.
Pendekatan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran linguistik dan budaya, malah membantu pelajar membina identiti digital yang bertanggungjawab.
Dalam konteks Malaysia, usaha ini selari dengan aspirasi untuk memupuk nilai masyarakat seperti hormat, kesederhanaan, tanggungjawab dan empati.
Bahasa media sosial berpotensi menjadi jambatan antara dunia akademik dan realiti kehidupan pelajar sekiranya digunakan dengan kesedaran, bimbingan dan tujuan pendidikan yang jelas.
Secara kritikal, cabaran utama bukanlah kewujudan bahasa tren itu sendiri, tetapi ketidakkefahaman tentang fungsi, konteks dan implikasinya.
Dengan literasi digital yang kukuh, netizen Malaysia berupaya mengekalkan nilai budaya dan sosial sambil menyesuaikan diri dengan perubahan global yang pesat.
Bahasa sentiasa berkembang, dan keupayaan masyarakat untuk memahami serta mengurus perubahan ini mencerminkan tahap kematangan sosial dan budaya.
Kesimpulannya, bahasa media sosial memainkan peranan penting dalam pembinaan identiti netizen dan perundingan nilai masyarakat Malaysia.
Walaupun membawa cabaran tertentu, bahasa ini juga mempunyai potensi besar sebagai alat pembelajaran, ekspresi diri dan representasi budaya.
Dalam konteks pendidikan, pengiktirafan terhadap peranan bahasa media sosial membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih relevan, inklusif dan berkesan, sejajar dengan aspirasi pembangunan insan holistik dalam era digital.
Noor Azlinda Zainal Abidin
Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Noor Aiesha Mohd Noor Aidi
Pelajar Sarjana Muda International Business
Management and Science University (MSU)