Skip to main content

UMPSA perkukuh jaringan strategik TVET serantau melalui lawatan kerja ke institusi pendidikan terkemuka di Indonesia

BANDUNG, 29 April 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranan sebagai peneraju pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) serantau menerusi lawatan kerja strategik ke beberapa institusi pendidikan tinggi dan TVET terkemuka di Indonesia baru-baru ini.

Lawatan yang diketuai Dekan Akademi TVET Termaju (ATVET), Datuk Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani itu turut disertai Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Ts. Nidzamuddeen Ishak dan Ketua Jabatan (Akademik dan Latihan), Ts. Junaedi Irwan Wan Abdul Halim.

Delegasi UMPSA telah mengadakan siri perbincangan strategik bersama Institut Teknologi Bandung (ITB), Politeknik Manufaktur Bandung (POLMAN) dan Akademi Komunitas Toyota Indonesia (AKTI) bagi meneroka peluang kerjasama akademik, latihan kompetensi profesional, penyelidikan serta mobiliti pelajar dan staf. 

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa pelaksanaan Asia Pacific Advanced TVET Hub yang diterajui UMPSA sebagai platform pengukuhan jaringan TVET berkualiti tinggi di rantau Asia Pasifik.

Menurut Datuk Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Shahrir Mohd Sani, pendekatan kolaboratif bersama institusi TVET antarabangsa penting dalam memastikan pendidikan TVET sentiasa relevan dengan perkembangan industri global serta memperkukuh perkongsian kepakaran dan teknologi.

Di ITB, delegasi UMPSA membincangkan pengukuhan kerjasama strategik melibatkan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU), pelaksanaan program latihan kompetensi profesional dan penyelidikan bersama.

Sementara itu, lawatan ke POLMAN pula memberi pendedahan kepada pelaksanaan Teaching Factory yang dikenal pasti sebagai antara amalan terbaik dalam pendidikan TVET berasaskan industri.

Menurut Ts. Junaedi Irwan Wan Abdul Halim, pendekatan Teaching Factory bukan sahaja memberi penekanan kepada kemahiran teknikal, malah membentuk budaya kerja industri, disiplin dan penyelesaian masalah secara praktikal dalam kalangan pelajar.

Delegasi turut mengadakan lawatan ke AKTI di Karawang yang merupakan institusi TVET berteraskan industri hasil kerjasama antara Kerajaan Indonesia dan Toyota sejak tahun 2015.

Lawatan tersebut memberi fokus kepada model pendidikan TVET industri yang menekankan budaya kerja Toyota, konsep continuous improvement serta pembangunan kompetensi teknikal dalam bidang automasi industri, automotif dan pembuatan.

Menurut Ts. Nidzamuddeen Ishak lagi, pengukuhan jaringan antarabangsa seperti ini mampu memperluas peluang mobiliti, perkongsian kepakaran dan pembangunan kompetensi warga akademik serta pelajar TVET.

Selain itu, ketiga-tiga institusi turut dijemput menyertai Asia Pacific Summit Advanced TVET Hub yang dijangka berlangsung pada September 2026.

Sebagai kesinambungan kepada inisiatif tersebut, siri lawatan strategik seterusnya akan dilaksanakan di Filipina pada 4 hingga 7 Jun 2026 melibatkan Technical Education and Skills Development Authority (TESDA), Colombo Plan Staff College (CPSC) dan Polytechnic University of the Philippines (PUP).

Lawatan ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan melalui pengukuhan jaringan strategik antarabangsa, perkongsian amalan terbaik TVET serta pembukaan peluang kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, latihan profesional dan mobiliti antarabangsa.

Disediakan Oleh: Ts. Junaedi Irwan Wan Abdul Halim, Akademi Tvet Termaju

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri