Profesor Madya Ts. Dr. Lee Chia Kuang raih PMIMY IGNITE 2025 diiktiraf Best Project Manager Merit Award
KUALA LUMPUR, 6 Disember 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sekali lagi mencipta kejayaan membanggakan apabila pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Profesor Madya Ts. Dr. Lee Chia Kuang menerima PMIMY IGNITE 2025 Best Project Manager Merit Award pada majlis yang berlangsung di Sime Darby Convention Centre baru-baru ini.
Anugerah yang disampaikan oleh Presiden PMI Malaysia Chapter (PMIMY), Francis Koh bersama Pengarah Corporate and Government Engagement PMIMY, Zaharuddin Jaafar merupakan pengiktirafan terhadap kepimpinan profesional, pencapaian akademik dan sumbangan berimpak tinggi Dr. Lee kepada pembangunan profesion pengurusan projek di Malaysia.
Menurut Profesor Madya Dr. Lee, pengiktirafan ini mencerminkan perjalanan panjang beliau dalam memperkukuh ekosistem pengurusan projek di UMPSA, terutamanya melalui inisiatif strategik yang dimulakan sejak 2019.
“Antara pencapaian terpenting ialah kejayaan memimpin usaha mendapatkan dan mengekalkan Akreditasi PMI-GAC dua kitaran berturut-turut bagi Program Sarjana Muda Pengurusan Projek dengan Kepujian yang sekali gus meletakkan UMPSA dalam kelompok universiti yang mengamalkan standard global dalam pendidikan pengurusan projek,” katanya.
Beliau juga turut menerajui pembangunan program Sarjana Pengurusan Projek yang menjadi satu lagi pencapaian signifikan dalam membina laluan akademik berkualiti tinggi bagi melahirkan generasi profesional projek yang berdaya saing.
Selain itu, selaras aspirasi UMPSA untuk muncul sebagai ASEAN Advanced TVET Hub, pihaknya merancang untuk memperluas laluan pensijilan profesional seperti CAPM® dan PMP® kepada pelajar, staf akademik serta tenaga pengajar TVET.

Beliau juga memberi tumpuan kepada pembangunan micro-credential, modul digital dan platform simulasi projek yang membolehkan pembelajaran lebih fleksibel serta memenuhi tuntutan industri.
Selain itu, ujarnya, beliau akan menumpukan pengukuhan penerapan piawaian global PMI, prinsip etika, kemampanan dan rangka kerja kompetensi dalam kurikulum akademik dan latihan industri.
“Fokus saya terhadap bidang analitik risiko, inovasi projek dan transformasi organisasi dijangka memberi nilai tambah kepada pembangunan bakat TVET serta penyelidikan berimpak tinggi di UMPSA,” katanya.
Keberhasilan beliau dalam bidang pengurusan projek turut didokong oleh jaringan kerjasama meluas bersama agensi dalam dan luar negara.
Antara rakan penting ialah PMIMY melalui pelbagai kerjasama latihan dan pembangunan profesional.
Kerjasama antarabangsa turut diperkukuh melalui American Industrial Hygiene Association (AIHA), USA yang menyalurkan pembiayaan untuk projek ‘Capacity Building for Malaysian NGOs in Integrated Risk Assessment and Hazard Prevention’.
Dalam pada itu, melalui MoU bersama Edustats Solutions, UMPSA mendapat sokongan teknikal berkaitan penggunaan perisian Risk Simulator bagi tujuan latihan, perundingan dan penyelidikan.
Semua kerjasama ini memberi ruang kepada UMPSA dan komuniti industri untuk menerima manfaat langsung daripada kepakaran dan inisiatif beliau.
Pengurniaan anugerah ini turut disokong oleh rekod pengiktirafan beliau dalam bidang penyelidikan dan inovasi antaranya, Anugerah Cendekia Bitara 2021-2023 bagi karya ilmiah dan produk penyelidikan, pencapaian pentauliahan pelajar UMPSA dalam laluan CAPM® serta pelibatan aktif beliau sebagai perunding dan jurulatih kepada pelbagai industri dalam bidang pengurusan projek dan risiko.
Beliau juga merupakan penyumbang penting kepada pembangunan piawaian global PMI, termasuk The Standard for Project Management edisi ketujuh dan kelapan, The Standard for Program Management edisi kelima, The Standard for Artificial Intelligence In Portfolio, Program, dan Project Management edisi pertama, PMBOK® Guide edisi ketujuh dan kelapan, serta Risk Management In Portfolios, Programs, and Projects: A Practice Guide.
Sumbangan ini secara jelas menonjolkan peranan beliau dalam memperkaya pengetahuan dan amalan pengurusan projek di peringkat antarabangsa.
Melangkah ke hadapan, beliau berharap agar penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan dapat dimanfaatkan secara lebih meluas oleh industri seperti pembinaan, minyak dan gas, serta sektor perkhidmatan.
Katanya, beliau melihat potensi besar dalam membantu agensi kerajaan meningkatkan keupayaan penilaian risiko kuantitatif, selain menyokong NGO dan organisasi komuniti dalam memperkukuh pengurusan projek sosial dan program berimpak tinggi.
Komitmen beliau untuk membudayakan pengurusan projek dan risiko turut dizahirkan melalui latihan profesional, konsultansi teknikal serta penyelidikan kolaboratif yang mampu memberi kesan positif kepada pembangunan negara.
Selain itu, Profesor Madya Dr. Lee turut menghasilkan beberapa inovasi yang digunakan dalam latihan dan penyelidikan antaranya GCPM Modular, DEMATEL Digraph, DEMAEX-SIM, Strategy Impact Matrix Simulator, Micro-credential Risk Ready & PM Modules serta modul latihan video untuk CAPM®, risiko dan pemetaan strategi.
Semua inovasi ini memainkan peranan penting dalam membantu organisasi membuat keputusan berasaskan data, memperkukuh keupayaan tenaga kerja dan memajukan ekosistem pembelajaran digital dalam pengurusan projek.
Dengan pencapaian ini, UMPSA terus menonjol sebagai institusi yang melahirkan tokoh akademik berimpak tinggi, manakala kepakaran beliau menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, profesion dan komuniti industri dalam bidang pengurusan projek di Malaysia dan rantau ASEAN.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 14 views
Reports by: